PERTUBUHAN Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengalami defisit AS$230 juta, kata setiausaha agungnya Antonio Guterres semalam, dan ia mungkin kehabisan wang pada akhir bulan ini.
Dalam satu surat kepada 37,000 kakitangan di sekretariat PBB, Guterres berkata langkah berjaga-jaga tambahan akan diambil bagi memastikan gaji dibayar.
“Negara anggota hanya membayar 70% daripada jumlah keseluruhan diperlukan bagi bajet operasi biasa kami pada 2019.
“Ini bermakna kekurangan wang tunai AS$230 juta pada akhir September. Kita berdepan risiko kehabisan rizab sokongan pada akhir bulan ini,” katanya.
Bagi mengurangkan kos, Guterres menyebut tentang penangguhan persidangan dan mesyuarat, selain mengetatkan perjalanan rasmi hanya kepada aktiviti asas dan mengambil langkah penjimatan lain.
Guterres awal tahun ini meminta negara anggota membayar sumbangan kepada badan dunia itu bagi mengatasi masalah aliran tunai, tetapi mereka enggan, kata pegawai PBB. – AFP, 8 Oktober, 2019.
Komen