Isu Foodpanda: Nasib pekerja 'gig economy' harus diberi perhatian


KEPUTUSAN Foodpanda untuk mengekalkan kaedah pembayaran upah yang baru walaupun diminta oleh kerajaan untuk mengembalikan kaedah sebelum ini adalah dikesali.

Seperti yang dinyatakan dalam laporan media, sejumlah besar para penghantar makanan menyatakan kebimbangan dan rasa tak puas hati terhadap kaedah pembayaran yang baru. Orang ramai turut menunjukkan sokongan mereka.

Ia amat dikesali apabila kita tidak menemui jalan yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak. Adalah penting untuk pekerja-pekerja di sektor “gig economy” dibayar upah yang setimpal sementara syarikat tersebut terus berkembang.

Syarikat teknologi di Malaysia perlu melihat keperluan para pekerjanya dan pandangan masyarakat. Saya berharap semua pihak yang terlibat akan terus berkomunikasi secara telus dan terbuka mengenai perkara ini untuk memastikan keadilan berlaku.

Pada skala lebih besar, kejadian ini mendedahkan bahawa Malaysia perlu berbuat lebih banyak untuk mempersiapkan diri untuk kebangkitan ekonomi.

Kita mesti sama-sama bimbang dengan memastikan pekerja di semua peringkat dalam sektor ini diberi bayaran dengan betul dan bagaimana untuk merangsang pemberian insentif kepada pembangunannya.

California di Amerika Syarikat baru-baru ini meluluskan undang-undang bersejarah untuk menghendaki perniagaan - termasuk syarikat “ride-hailing” seperti Uber dan Lyft - untuk menganggap pemandu sebagai pekerja, bukan kontraktor bebas dalam kebanyakan keadaan.

Ini bermakna pekerja sedemikian akan menerima perlindungan dan manfaat buruh seperti insurans pengangguran, kerja lebih masa, gaji minima dan hak untuk kesatuan.

Ia mungkin masa untuk Malaysia mempertimbangkan undang-undang yang sama; walaupun pandangan para pekerja dan majikan mestilah diperhalusi.

Saya faham Kementerian Sumber Manusia sedang mempertimbangkan untuk meminda undang-undang bagi memasukkan siapa yang boleh ditakrifkan sebagai pekerja.

Langkah lain yang mungkin dapat diguna pakai termasuk pengenalan gaji minimum setiap jam, yang akan sangat membantu pekerja gig-economy, dengan syarat mereka memenuhi piawai produktiviti tertentu.

Semua pihak harus sedar upah yang rendah tidak baik untuk semua dalam jangka masa yang panjang. Malaysia menekan kadar upah buat terlalu lama.

Laporan Bank Negara pada 2018 mendapati pekerja Malaysia masih dibayar kurang dari pekerja-pekerja ekonomi penanda aras yang lain, meskipun selepas mengambilkira produktiviti.

Sebaliknya, apa yang diperlukan ialah dasar bijak serta kerjasama semua pihak untuk memastikan rakyat yang bekerja dibayar dengan baik dan produktif.

Ini adalah sesuatu diambil kira kerajaan untuk bergerak ke hadapan. Sementara itu, usaha mesti diteruskan untuk memastikan resolusi yang tepat kepada isu penunggang Foodpanda. – 8 Oktober, 2019.

* Nik Nazmi Nik Ahmad adalah ketua setiausaha pengelola PKR, ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR dan ahli Parlimen Setiawangsa.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen