JABATAN Perdagangan Amerika Syarikat (AS) semalam mengumumkan senarai hitam 28 entiti China yang dikatakan terbabit dalam pencabulan dan penderaan hak terhadap etnik Uighur dan minoriti Islam lain di wilayah Xinjiang.
Setiausaha Perdagangan Wilbur Ross ketika mengumumkan langkah melarang entiti dinamakan daripada membeli produk AS, berkata Washington tidak boleh dan tidak akan bertolak ansur dengan penindasan kejam ke atas etnik minoriti di China.
Menurut kemas kini dengan Pendaftaran Persekutuan AS yang akan disiarkan esok, firma yang disenaraihitamkan termasuk syarikat video pemantauan, Hikvision selain syarikat kecerdasan buatan (AI), Megvii Technology dan SenseTime.
Kumpulan hak asasi manusia berkata China menahan kira-kira sejuta etnik Uighur dan umat Islam lain di kem pendidikan semula di barat Xinjiang, satu langkah di mana Washington berkata hampir serupa dengan tindakan Nazi di Jerman.
China sehingga kini menafikan kewujudan kem itu tetapi mendakwa ia sekolah latihan vokasional yang perlu untuk mengawal keganasan.
Pada masa sama mendakwa ia campur tangan dalam urusan hal ehwal dalaman negaranya.
AS sebelum ini mengharamkan syarikat gergasi teknologi Huawei dan syarikat China lain daripada mendapatkan kontrak kerajaan, ketika perang dagangan antara dua negara masih berlangsung. – AFP, 8 Oktober, 2019.
Komen