Pelajar kritik kerajaan dibelasah hingga mati di Bangladesh


Pelajar universiti di Dhaka mengadakan tunjuk perasaan susulan kematian rakan pelajar mereka selepas dipukul aktivis parti kerajaan. – Gambar EPA, 8 Oktober, 2019.

PELAJAR di Bangladesh mengadakan protes dan menyekat jalan-jalan utama semalam selepas seorang pelajar dibelasah hingga mati, didakwa dilakukan oleh aktivis parti kerajaan, kerana mengkritik kerajaan berkenaan urus niaga perkongsian air dengan India.

Protes tercetus di beberapa universiti di Dhaka dan bandar utara Rajshahi selepas kematian Abrar Fahad, pelajar Universiti Kejuruteraan dan Teknologi Bangladesh.

Pelajar melaungkan slogan mendesak keadilan dan menyekat jalan-jalan utama di dua bandar itu. Guru turut serta dalam tunjuk perasaan itu.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Dhaka Munstasirul Islam berkata Fahad dipukul hingga parti dan aktivis parti pemerintah terbabit ditahan untuk soal siasat.

Mayatnya ditemui dalam asrama di universitinya dan media memetik penghuni di situ sebagai berkata ahli sayap pelajar parti pemerintah Awami League menyoal siasat mangsa dan memukulnya.

Ashikul Islam Bitu, naib presiden Bangladesh Chhatra League (BCL), memberitahu NTV bahawa Fahad disoal siasat berkenaan kaitannya dengan sayap pemuda parti Islam.

Selepas rakaman CCTV diperiksa, polis menahan sembilan lelaki dari asrama yang sama, sekurang-kurangnya lima daripada mereka aktivis BCL, kata polis.

Bapa mangsa memfailkan laporan kes bunuh.

Fahad memuat naik di Facebook yang kemudian menjadi viral beberapa jam sebelum kematiannya. Beliau mengkritik kerajaan kerana menandatangani satu perjanjian yang dikatakan membenarkan India mengambil air dari sungai di sempadan di mana ia dikongsi dua negara itu. – AFP, 8 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen