Kehadiran rendah kaum Cina pada himpunan kleptokrasi bimbangkan Pakatan


Amin Iskandar Asila Jalil

KEHADIRAN rendah kaum Cina bandar di kubu kuat pembangkang di Petaling Jaya semasa himpunan pada Sabtu membimbangkan pemimpin Pakatan Harapan (PH) kerana ini mungkin akan menjadi cerminan kepada undi mereka pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Seorang pemimpin PH berkata, andaian undi kaum Cina akan terus bersama pembangkang seperti pada pilihan raya 2008 dan 2013 adalah tidak benar dan ini diterjemahkan dengan kehadiran rendah mereka pada perhimpunan terakhir “Sayangi Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi” yang diadakan di Padang Timur, Petaling Jaya.

“Selepas himpunan kami berbincang tentang mengapa pengundi kelas pertengahan bandar terutamanya kaum Cina tidak hadir walaupun himpunan diadakan di Petaling Jaya, tempat tinggal mereka dan merupakan kubu kuat pembangkang sejak 2008,” kata seorang pemimpin kanan PH dengan syarat tidak dinamakan.

“Ini mungkin disebabkan pengundi kelas pertengahan Cina sudah bosan dengan keadaan politik di Malaysia, sudah keletihan dan ‘give up’ apabila melihat pergaduhan dalaman antara pembangkang.

“Mereka mungkin tidak akan mengundi Barisan Nasional (BN) pada PRU14 tetapi kemungkinan besar mereka tidak akan keluar mengundi pada PRU14.”

Pemimpin PH pada Sabtu mengatakan mereka berjaya menghimpunkan seramai 25,000 orang akan tetapi Ketua Polis Selangor Mazlan Mansor mengatakan kehadiran hanya sekitar 4,000 orang.

Padang Timur yang berhadapan dengan pusat membeli-belah Amcorp Mall terletak dalam kawasan Parlimen Petaling Jaya Selatan yang disandang Hee Loy Sian daripada PKR sejak 2008.

Sumber PH itu berkata, ada juga pemimpin yang berpendapat pengundi Cina sudah memahami isu “kleptokrasi” dan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan ini menyebabkan mereka tidak menyertai perhimpunan itu.

“Akan tetapi saya tidak terima hujah ini. Saya merasakan PH perlu kaji dengan serius mengapa pengundi kelas pertengahan Cina tidak hadir pada perhimpunan itu.

“Jangan sampai kita hilang sokongan mereka pada PRU14,” katanya.

Pegarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar berkata menurut kajian yang dilakukannya, sentimen pengundi Cina pada ketika ini ialah “tunggu dan lihat”.

“Ini kerana pada PRU13, lebih 85% pengundi Cina sudah memberikan undi kepada pembangkang akan tetapi masih belum berlaku perubahan kerajaan sehingga digelar ‘tsunami Cina’.

“Semasa perhimpunan Bersih 4, begitu ramai kaum Cina turun sehingga Umno mengatakan himpunan itu hanya dihadiri kaum Cina. Sebab itu mereka sekarang ini tunggu dan lihat bagaimana reaksi orang Melayu,” katanya.

Walaupun ada pemimpin Pakatan Harapan berpendapat punca pengundi Cina tidak menyertai himpunan pada 14 Oktober kerana mereka sudah memahami isu kleptokrasi dan skandal 1MDB, kajian serius perlu dilakukan bagi memastikannya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Oktober, 2017.

Hisommudin berkata, sekiranya PH gagal menarik sokongan Melayu kemungkinan besar, mereka tidak akan mendapat sokongan pengundi Cina seperti PRU13.

Penganalisis politik Khoo Kay Peng berkata, masyarakat Cina sangat praktikal dan parti pembangkang seharusnya fokus kepada menyediakan alternatif yang jelas.

“Bukan hanya menyerang kerajaan. Saya fikir apa yang rakyat mahu dengar ialah apakah pembangkang mampu mentadbir dengan lebih baik?

“Apa rancangan mereka? Apa agenda dan apakah cadangan pembangkang?” soalnya.

Sementara Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Mobilisasi PH, Mohamad Sabu berkata himpunan pada Sabtu berjaya mencapai matlamat untuk menghimpunkan kaum Melayu untuk bersama.

“Untuk perhimpunan kali ini, kita memang mensasarkan kehadiran daripada kaum Melayu dan kita berjaya capai sasaran itu.

“Kaum Cina tidak ramai hadir tak mengapa, mereka sudah menjalankan tanggungjawab mereka semasa perhimpunan Bersih 4 dan 5.

“Sebelum ini kita bimbang kaum Melayu tidak dapat memahami skandal 1MDB yang berlaku dalam negara ini dan mereka beranggapan ia merupakan konspirasi untuk menjatuhkan Perdana Menteri Najib Razak,” katanya yang juga timbalan presiden PH dan presiden Amanah.

Mohamad berkata, perhimpunan pada Sabtu menyaksikan PH berjaya mengumpulkan derma daripada orang ramai sebanyak RM68,000.

“Kali ini mereka tidak boleh kata himpunan PH hanya berjaya menghimpunkan kaum Cina sahaja kerana terbukti orang Melayu sudah keluar dan bersama,” katanya. – 17 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen