Situasi keganasan punca lebih 16,000 melarikan diri dari Papua


Penduduk Papua menunggu giliran menaiki pesawat ketika melarikan diri keluar dari wilayah itu susulan keganasan yang berlaku sejak Ogos. – Gambar EPA, 8 Oktober, 2019.

LEBIH 16,000 penduduk yang ketakutan melarikan diri dari wilayah Papua, Indonesia, kata pihak tentera, susulan keganasan paling buruk tercetus hingga menyebabkan siasatan desakan kemerdekaan dilakukan.

Berpuluh-puluh terbunuh apabila keganasan berlaku di bandar Wamena bulan lalu, dengan sesetengah mangsa dibakar hidup-hidup apabila bangunan terbakar, dan sebahagian yang lain ditikam dalam kekecohan itu, kata pihak berkuasa.

Sejak pertengahan Ogos, Papua dilanda gelombang protes besar-besaran dan keganasan dipenuhi dengan rasisme terhadap masyarakat Orang Asli Papua oleh rakyat Indonesia dari bahagian lain di negara itu, selain gesaan pemerintahan sendiri di wilayah miskin itu.

Majoriti rakyat Papua beragama Kristian etnik Melanesia dan beberapa ikatan budaya dengan majoriti Muslim Indonesia.

Semalam, tentera udara berkata kira-kira 11,400 orang – kebanyakannya pendatang diselamatkan menggunakan pesawat tentera.

Beberapa ribu lagi keluar menggunakan pesawat komersial sejak hujung September, katanya.

Keganasan di Wamena dilaporkan berpunca daripada komen rasis dibuat oleh seorang guru tempatan terhadap pelajar, tetapi polis menafikannya.

Sejak itu, ribuan penduduk – Papua dan bukan Papua – dibawa keluar susulan berita tentang keganasan semakin memuncak tersebar di media sosial.

Namun, Wamena kelihatan mula kembali kepada keadaan normal dengan banyak kedai dan sekolah dibuka semula – walaupun kebanyakan pelajar masih memilih tinggal di rumah – sementara pejabat kerajaan dibuka semula sejak minggu lalu.

Pada Ogos, protes tercetus di seluruh Papua dan beberapa bahagian lain di republik itu selepas penahanan, penderaan perkauman dan gas pemedih mata dilepaskan ke arah pelajar Papua di Surabaya.

Pendatang asing menjadi minoriti yang berpengaruh di Papua, berpindah ke situ dari beberapa bahagian lain di Indonesia dalam usaha mencari peluang di wilayah kaya bahan mineral itu – dan juga mempunyai lombong emas terbesar dunia. – AFP, 8 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen