BEKAS speaker Dewan Rakyat Pandikar Amin Mulia tiada perancangan untuk menyertai PKR namun mahu menggunakan parti Sabah, Angkatan Keadilan Rayat Bersatu (Akar) sebagai platform untuk meneruskan karier politiknya.
Bercakap kepada pemberita di Kota Kinabalu hari ini, Pandikar berkata beliau tidak akan mengikut jejak langkah veteran Umno, Salleh Said Keruak yang menghantar permohonan untuk menyertai PKR.
“Saya akan memimpin parti tempatan. Saya mahu pulihkan Akar dengan barisan pimpinan baharu,” Pandikar dipetik sebagai berkata oleh The Star.
Beliau berkata, Akar yang pernah disertainya pada 1990-an sebelum menyertai Umno, akan dipulihkan dengan ahli politik berpengalaman terdiri daripada 30% pimpinannya.
Akar pernah menjadi parti komponen Barisan Nasional sebelum Pandikar membubarkannya dan ahlinya diserap ke dalam Umno pada 2001.
Tahun lalu, Pandikar dan Salleh merupakan antara pemimpin kanan Umno Sabah yang keluar parti.
Selepas itu, timbul spekulasi kedua-dua pemimpin berkenaan akan menyertai PKR, namun hanya Salleh yang berbuat demikian, satu tindakan yang menimbulkan kemarahan pemimpin PKR Sabah yang mendakwa mereka tidak pernah membincangkan perkara itu dengan pucuk pimpinan.
Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata permohonan Salleh itu akan dipertimbangkan. – 7 Oktober, 2019.
Komen