TENTERA Tunisia menemui 26 mayat pendatang di laut seminggu selepas bot mereka bertembung dengan sebuah kapal tentera laut, menyebabkan angka kematian menjadi 34, kata Kementerian Pertahanan.
Pada 8 Oktober, sebuah bot pendatang tenggelam selepas berlanggar dengan kapal tentera laut di pantai Kepulauan Kerkennah, Mediterranean.
Pada masa itu, Kementerian Pertahanan mengatakan lapan pendatang lemas dan 38 yang lain diselamatkan, manakala NGO pula berkata berpuluh-puluh yang lain masih hilang.
Pada malam Ahad, kapal tentera mencari dan menyelamat menemui 10 mayat daripada bot pendatang asing, kata kementerian itu dalam satu kenyataan.
Sebanyak 16 mayat ditemui pada Isnin, kata jurucakap Kementerian Pertahanan Belhassen Oueslati, menjadikan jumlah kematian setakat ini 34.
Seorang pendatang yang diselamatkan selepas tragedi itu memberitahu AFP yang 90 orang berada di atas kapal, dengan harapan dapat sampai ke Itali.
NGO, Forum Hak Ekonomi dan Sosial Rakyat Tunisa, menganggarkan bot berkenaan membawa di antara 80 hingga 100 orang pendatang.
Menurut Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi (IOM), terdapat peningkatan jumlah pendatang yang cuba membuat laluan laut berbahaya dari Tunisia ke Eropah sejak musim panas.
Bot-bot kecil menuju ke kepulauan Sicily dan Lampedusa.
Flavio di Giacomo, jurucakap Itali bagi IOM memberitahu AFP awal bulan ini yang 1,400 rakyat Tunia tiba di Lampedusa dan Sicily barat pada September.
Ini berbanding 1,200 yang didaftarkan di Itali bagi sepanjang 2016.
FTDES berkata dalam satu laporan tahun lepas yang separuh daripada belia Tunisia dari kawasan berpendapatan rendah ingin meninggalkan negara ini, dan satu daripada tiga bersedia untuk melakukannya.
Ia menyalahkan peningkatan kadar kemiskinan dan pengangguran di negara Afrika Utara. – AFP, 17 Oktober, 2017.
Komen