Turki tidak akan benarkan Daesh kembali 


Sempadan Turki-Syria menjadi penempatan kepada lebih dua juta pelarian.– Gambar EPA, 7 Oktober, 2019.

TURKI tidak akan benarkan kumpulan militan Daesh kembali ke negara itu, kata jurucakap presidennya hari ini, susulan kebimbangan berhubung ancaman kumpulan militan Kurdish Syria.

“Turki juga akan terus menentang Daesh dan tidak akan benarkan ia kembali dalam bentuk apa sekalipun,” kata Ibrahim Kalin menerusi Twitter.

Tentera Amerika Syarikat telah berundur dari kedudukannya di sepanjang sempadan Turki-Syria selepas White House pada Ahad berkata pihaknya tidak akan menjadi penghalang kepada operasi tentera Turki terhadap kumpulan militan Kurdish di Syria.

Kurdish yang diketuai oleh Pasukan Demokratik Syria berkata, pengunduran AS merupakan ancaman untuk mewujudkan tekanan keselamatan yang akan merosakkan usaha bagi menewaskan Daesh.

Menurut Ankara, rancangannya untuk mewujudkan ‘zon selamat’ di utara Syria membolehkan dua juta pelarian Syria kembali ke tanah air mereka.

Zon keselamatan itu diwujudkan untuk dua tujuan: menjaga keselamatan sempadan Turki dengan memusnahkan elemen keganasan dan membenarkan pelarian kembali ke tanah air mereka.

Katanya, Turki tiada sebarang niat untuk menjajah atau mengubah demografik.

Terdapat kira-kira 3.6 juta pelarian Syria di Turki, yang mana ia merupakan jumlah tertinggi di dunia, yang menjadi punca peningkatan ketegangan di negara itu. – AFP, 7 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen