Gempa bumi: Penduduk Indonesia panik akibat berita palsu


Ribuan warga Indonesia masih berada di tempat perlindungan hampir dua minggu selepas diprovok dengan berita palsu yang disebarkan menerusi WhatsApp. – Gambar EPA, 7 Oktober, 2019.

RIBUAN warga Indonesia masih berada di tempat perlindungan hampir dua minggu selepas mereka diprovok dengan isu tidak benar berkaitan kehadiran gempa bumi besar serta tsunami sejak bencana itu berlaku pada 26 September lalu.

Kerajaan tempatan telah mengisytiharkan keadaan kecemasan sehingga Rabu dengan hampir 135,000 orang di tempat perlindungan.

Ramai yang hilang tempat tinggal takut hendak kembali ke rumah mereka di kepulauan Maluku yang jauh selepas kawasan itu dilanda gempa bumi 6.5 magnitud pada September yang membunuh puluhan penduduk dan merosakkan rumah serta bangunan lain.

Kebimbangan mengenai gempa susulan semakin bertambah apabila berita palsu disebarkan melalui WhatsApp dan lain-lain yang memberi amaran bahawa tsunami akan berlaku.

“Terserah kepada kamu mahu percaya saya atau tidak, tetapi saya bercakap dengan saudara saya dan nampaknya Ambon akan tenggelam dalam beberapa hari akan datang,” tulis satu mesej yang disebarkan menerusi WhatsApp.

Jurucakap Agensi Pengurangan Bencana Negara Agus Wibowo berkata berita palsu yang disebarkan itu membuatkan keadaan menjadi lebih buruk.

“Terdapat banyak berita palsu mengenai gempa bumi dan tsunami.

“Orang ramai takut dan mereka memilih untuk terus tinggal di tempat perlindungan,” katanya.

Malah ada penduduk yang rumahnya tidak terjejas juga enggan pulang walaupun mereka telah diberitahu bahawa keadaan sudah kembali selamat.

“Ramai juga yang berpendapat mereka tidak dibenarkan pulang semasa keadaan kecemasan yang sebenarnya adalah berita palsu,” katanya. – AFP, 7 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen