POLIS masih memburu dua suspek insiden tembakan pada Ahad lalu di sebuah bar di Kansas City, membunuh empat orang dan mencederakan lima yang lain, lapor agensi berita Xinhua.
Jurucakap Jabatan Polis Kansas City, Thomas Tomasic, berkata pihak polis sedang meneliti video kamera litar tertutup milik bar Tequila KC selain menemubual beberapa saksi.
Bar itu terletak di Central Avenue di pusat bandar raya. Sekurang-kurangnya dua daripada lima mangsa yang cedera dilaporkan stabil dan kini dirawat di hospital, menurut Tomasic.
Jurucakap itu berkata, mungkin terdapat dua suspek yang menyerbu masuk dalam bar berkenaan sebelum melepaskan tembakan.
Motif kejadian masih belum diketahui dan penyiasat percaya serangan tidak mempunyai kaitan dengan perkauman.
Empat mangsa ditemui mati di dalam bar manakala mangsa yang cedera ditemui di bahagian luar, kata Tomasic. – Bernama, 7 Oktober, 2019.
Komen