Harga petrol RON95 diapung dengan skim subsidi baru, kata menteri


Diyana Ibrahim

Putrajaya akan mengapungkan harga petrol RON 95 bermula Januari tahun depan apabila program susbidi petrol dilaksanakan. – Gamnbar fail The Malaysian Insight, 7 Oktober, 2019

KERAJAAN akan mengapungkan harga petrol RON 95 bermula Januari tahun depan apabila program susbidi petrol dilaksanakan untuk golongan berpendapatan rendah kumpulan B40 yang menerima Bantuan Sara Hidup (BSH), kata Saifuddin Nasution Ismail.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkata subsidi itu akan dibayar empat bulan sekali pada kadar RM48 bagi pemilik motosikal dan RM120 bagi pemilik kereta di Semenanjung Malaysia.

Ini menjadikan pemilik motosikal menerima bantuan subsidi RM12 sebulan manakala pemilik kereta RM30 sebulan.

Dengan pengapungan itu juga, harga petrol RON 95 akan mengikut pasaran semasa namun kerajaan akan terus memantau pergerakannya, kata Saifuddin.

“Apabila subsidi ini diumumkan harga diapung tapi kerajaan akan pastikan kenaikan itu  tak membebankan… kerana itu kita memutuskan untuk membuat secara berperingkat tidak mendadak,” katanya dalam sidang media di Putrajaya.

Bagi pengguna di Sabah, Sarawak dan Labuan, skim subsidi ini tidak terpakai tetapi harga petrol RON 95 dihadkan pada RM2.08 seliter.

Program subsidi bersasar itu akan melibatkan 2.9 juta pengguna, dengan kos peruntukan RM65.4 juta.

Ia ditujukan kepada golongan B40 yang memiliki kereta berkapasiti enjin 1,600 cc dan ke bawah atau kereta berumur lebih 10 tahun. Bagi pemilik motosikal, mereka yang layak ialah yang memiliki motosikal 150 cc atau lebih tujuh tahun.

Beliau berkata kerajaan juga masih belum memutuskan kaedah pengapungan akan dibuat secara mingguan seperti sebelum ini atau bulanan selepas program subsidi dilaksanakan.

“Kita masih belum bincang lagi tempoh pengapungan kerana ia bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan,” katanya.

Saifuddin turut mengharapkan program subsidi itu dapat dipanjangkan kepada golongan M40 memandangkan lebihan pendapatan yang akan diraih kerajaan.

Sebelum ini kerajaan memperuntukkan purata RM133 juta seminggu untuk subsidi RON95 yang diikat pada RM2.08 sen seliter.

Selain itu Saifuddin berkata kementeriannya akan memantau kenaikan harga yang mungkin akan berlaku selepas subsidi tersebut dilaksanakan.

Beliau berkata ketika ini pihaknya mempunyai 3,000 kakitangan dan 2,300 daripadanya pegawai pemantau harga KPDNHEP.

Katanya, rakyat boleh mula menyemak kelayakan mereka pada 15 Oktober ini di laman sesawang kementerian.

Pada masa ini katanya, kerajaan menggunakan data daripada BSH dan Jabatan Pengangkutan Jalan bagi mengenal pasti jumlah pemilik yang menerima skim tersebut. – 7 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen