Masalah beg udara, Mercedes panggil balik 400,000 kereta di UK


Mercedes-Benz memanggil semula 400,000 pemilik kenderaan itu di United Kingdom susulan kerosakan membabitkan beg udara. – Gambar AFP, 16 Oktober, 2017.

MERCEDES-BENZ memanggil semula 400,000 pemilik kenderaan itu di United Kingdom susulan terhadap kesilapan yang mungkin menyebabkan beg udaranya terbuka tiba-tiba, kata syarikat itu.

Satu kenyataan yang dikeluarkan pembuat kereta milik Jerman, Daimler itu berkata situasi berkenaan tidak ada kaitan dengan krisis beg udara kumpulan Takata di Jepun.

Mercedes berkata ia memanggil semula kenderaannya bagi model A, B, C dan E-Class serta CLA, GLA, dan GLC –yang dibuat antara November 2011 dan Julai 2017.

Kenyataan itu tidak menyatakan berapa banyak kereta yang dipanggil balik, tetapi syarikat itu kemudian mengesahkan 400,000 kenderaan terlibat.

Mercedes berkata lampu amaran beg udara bahagian pemandu dan lampu amaran berwarna merah mungkin tersilap dipaparkan.

Katanya, dalam “keadaan yang jarang berlaku” sesebuah kenderaan itu “mungkin boleh menyebabkan beg udara pemandu terkeluar secara tidak sengaja”.

Pembuat kereta itu berkata pelanggan yang terjejas boleh menghubungi syarikat untuk membolehkan kereta mereka dipanggil balik dan dibaiki.

“Kerja membaiki mengambil masa kira-kira sejam dan ia percuma,” katanya.

Takata sebelum ini memanggil balik kira-kira 100 juta beg udara yang dihasilkan untuk sesetengah syarikat pembuat kenderaan terbesar dunia, termasuk 70 juta di Amerika Syarikat, kerana risiko yang boleh menyebabkan satu material terkeluar dari tengah roda stereng. – AFP, 16 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen