Foodpanda kekal skim pembayaran baru


SM Amin

Pengarah Urusan Foodpanda Sayantan Das mengingatkan keputusan syarikat minggu lalu adalah yang terbaik untuk penghantar makanannya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 7 Oktober, 2019.

SYARIKAT penghantar makanan dalam talian, Foodpanda mengekalkan sistem pembayaran baharu yang dipertikaikan oleh pekerjanya minggu lalu, yang mengheret kerajaan campur tangan dan mencadangkannya supaya kembali kepada sistem lama.

Pengarah urusannya, Sayantan Das berkata Foodpanda menyambut baik usaha kerajaan untuk memahami realiti ekonomi gig, atau pekerjaan sambilan, namun mengingatkan keputusan syarikat minggu lalu adalah yang terbaik untuk penghantar makanannya.

“Skim ini baru dilancarkan dan berdasarkan data yang kita terima, kita melihat ia satu kadar yang baik untuk rider (penunggang) mendapat lebih pendapatan daripada sebelum ini.

“Kita menyambut baik naratif, pandangan dan usaha yang mereka lakukan untuk memahami kehendak pasaran. 

“Tetapi pelaksanaannya dibuat oleh syarikat tanpa campur tangan dari kerajaan,” katanya dalam sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

Jelas beliau, pihaknya akan meneliti pelaksanaan skim baharu ini sekurang-kurangnya sehingga akhir bulan ini sebelum menyemak semula, jika perlu.

Penghantar makanan Foodpanda awal minggu lalu melancarkan mogok membantah skim pembayaran baharu yang mereka dakwa menindas dan tidak adil. 

Pada malam menjelang mesyuarat Kabinet pada Rabu, lebih 100 penghantar makanan mengadu nasib kepada Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berhubung skim baharu itu.

Lebih 100 penghantar makanan Foodpanda mengadu nasib kepada Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berhubung skim baharu itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Oktober, 2019.

Dalam mesyuaratnya, Jemaah Menteri menyarankan Foodpanda supaya kembali kepada sistem pembayaran yang lama.

Jemaah Menteri juga mengarahkan sebuah jawatankuasa dianggotai tiga kementerian untuk mengkaji kedudukan dan masa depan ekonomi gigi di Malaysia.

Tiga kementerian itu ialah Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Sumber Manusia, dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Mengulas lanjut, Sayantan berkata hanya segelintir penghantar makanan Foodpanda yang tidak puas hati dengan skim pembayaran baharu sehingga melancarkan mogok di beberapa negeri.

“Operasi syarikat masih berjalan seperti biasa tanpa kesan negatif.

“Mereka yang tidak setuju kita galakkan mereka guna dahulu skim baru ini supaya sedar apa yang positif dalam skim baharu ini. 

“Mereka yang kekal untuk tidak bersetuju bebas untuk mencari peluang lain di syarikat lain. Kita tidak paksa mereka untuk kekal dengan Foodpanda,” ujarnya.

Sayantan juga memberi jaminan skim pembayaran baharu akan memastikan setiap penghantar makanan menerima sekurang-kurang satu tempahan pada setiap jam.

Ribuan penghantar makanan Foodpanda melancarkan mogok di beberapa negeri awal minggu lalu sebagai membantah penghapusan skim bayaran masa menunggu, yang digantikan dengan jumlah penghantaran yang diselesaikan. 

Menerusi skim lama, penghantar menerima bayaran asas RM4 sejam selain insentif pesanan antara RM3 hingga RM5 bagi setiap pesanan, bergantung prestasi individu.

 Bagaimanapun, menerusi skim pembayaran baharu, Foodpanda menghapuskan bayaran asas jam bekerja sebaliknya meningkatkan insentif pesanan antara RM4.50 hingga RM7 untuk setiap pesanan. – 7 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen