SEKURANG-KURANGNYA 31 orang maut dalam kebakaran hutan di utara dan tengah Portugal dalam tempoh 24 jam lalu, kata anggota penyelamat, selepas tiga terbunuh di Sepanyol dalam kebakaran dilakukan beberapa individu dan kemudiannya dimarakkan oleh Taufan Ophelia.
Di Portugal, Perdana Menteri Antonio Costa mengisytiharkan darurat dengan kira-kira 5,000 anggota bomba sedang cuba memadamkan 30 kebakaran besar.
Jumlah 31 kematian itu disahkan oleh agensi perlindungan awam negara, empat bulan selepas 64 orang terbunuh dan lebih 250 cedera dalam kebakaran paling buruk dalam sejarah negara itu pada 17 Jun.
Sebelum kebakaran terbaru ini juga, hampir 216,000 hektar kawasan terbakar akibat api liar di seluruh negara antara Januari dan September.
Sebanyak 524 kejadian kebakaran didaftarkan, sejak 2006 dengan kebanyakan disebabkan oleh suhu lebih tinggi berbanding biasa bagi musim itu.
Seramai 51 orang tercedera dalam kebakaran itu, dengan 15 daripada kritikal.
Antara kawasan yang paling teruk ialah Lousa, di mana 650 anggota bomba dikerahkan memadam kebakaran.
Di barat daya Sepanyol, Galicia yang bersempadan dengan Portugal, Perdana Menteri Mariano Rajoy menyalahkan mereka yang memulakan kebakaran hingga menyebabkan tiga maut.
Lima kejadian kebakaran liar di Vigo, bandar terbesar Galicia menyebabkan sebuah pusat beli-belah terpaksa dikosongkan.
Bandar yang mempunyai kira-kira 300,000 penduduk itu membuka dua pusat sukan dan menempah bilik di tiga hotel untuk mereka yang terpaksa mengosongkan rumah masing-masing.
Sekurang-kurangnya 10 sekolah ditutup di Vigo kerana kebakaran itu, kata pegawai tempatan.
Dua wanita maut semalam selepas terperangkap dalam van mereka berhampiran Nigran, di pinggir Vigo, dan seorang lelaki tua mati dalam kandang berhampiran rumahnya di Carballeda de Avia.
Pusat ramalan cuaca negara meramalkan hujan dan suhu lebih dingin di Galicia bermula awal minggu ini. – AFP, 16 Oktober, 2017.
Komen