SPRM tuntut duit 1MDB daripada adik Najib, 79 yang lain


Kalidevi Mogan Kumarappa

Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya berkata mereka yang dikeluarkan notis kompaun diberi dua minggu untuk bayar denda. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 7 Oktober, 2019.

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengeluarkan notis kompaun ke atas adik Najib Razak serta bekas menteri dan timbalan menteri Barisan Nasional (BN) untuk mendapatkan semula duit 1Malaysia Development Berhad yang mereka terima daripada bekas perdana menteri.

Bekas pengerusi Kumpulan CIMB Mohd Nazir Razak adalah antara 80 pihak yang dikeluarkan kompaun oleh agensi anti rasuah itu, bersama bekas timbalan menteri kewangan Ahmad Maslan dan bekas menteri dan bekas pengerusi Felda Shahrir Samad.

Notis kompaun itu melibatkan tuntutan ke atas dana keseluruhan berjumlah RM420 juta yang mereka terima dalam bentuk cek dari akaun bank Najib, kata Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya.

“Saya berharap mereka mengambil serius untuk membayar kompaun berkenaan sebaik menerima notis,” katanya dalam satu sidang media di ibu pejabat SPRM di Putrajaya, hari ini.

Notis dikeluarkan mengikut Seksyen 92(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA), selepas mendapat izin mendakwa daripada peguam negara, kata Latheefa.

Beliau berkata mereka yang menerima notis kompaun itu diberi masa dua minggu untuk membayar denda itu, atau berdepan tindakan didakwa seperti ditetapkan di bawah Seksyen 92(3) akta yang sama.

“Sekiranya mereka ingin melanjutkan tempoh masa untuk membayar denda itu, mereka boleh membuat permohonan kepada SPRM,” katanya.

Latheefa memberitahu Nazir adalah individu yang menerima dana paling tinggi, dalam kalangan sembilan individu yang dikeluarkan kompaun, iaitu sebanyak RM25.7 juta, manakala Solar Shine Sdn Bhd yang menerima RM134 juta adalah syarikat penerima dana tertinggi.

Latheefa juga menjelaskan notis kompaun ini berbeza daripada permohonan melucut hak di bawah akta sama terhadap 41 pihak pada Jun lalu, bagi keseluruhan wang berjumlah lebih RM270 juta yang dipindahkan dari akaun Najib.

Katanya, dalam permohonan sivil sebelum ini 41 pihak itu masih ada wang yang mereka terima dalam akaun masing-masing dan SPRM membuat permohonan kepada mahkamah untuk membekukan akaun tersebut.

Dalam tindakan kali ini, antara pihak yang dikenakan kompaun ialah agensi kerajaan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM), anak syarikat milik penuh Kementerian Kewangan yang dikendalikan oleh Kementerian Pendidikan.

SPRM juga menuntut balik duit 1MDB daripada agensi media dan komunikasi Cense Media Sdn Bhd dan Salt Media Consultancy Sdn Bhd, penerbit buku kartun Transformasi Najib, Qalif Umar Creative dan 19 syarikat lain.

Antara individu yang juga dikenakan kompaun ialah bekas setiausaha politik kepada Najib, Mohamad Fatmi Che Salleh; bekas Ketua Bahagian Umno Pasir Mas, Hanafi Mamat dan pemaju hartanah Lim Soon Peng.

Baki penerima kompaun ialah 43 pertubuhan politik BN, Umno, MCA, MIC, Parti Rakyat Sarawak, Gerakan dan PPP, serta empat pusat khidmat kawasan Parlimen dan lima yayasan dan badan lain. – 7 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen