PENDAKWA Sepanyol memohon kepada mahkamah Madrid untuk mengenakan tahanan reman terhadap ketua polis wilayah Catalonia, Josep Lluis Trapero yang dituduh atas kesalahan menghasut, kata sumber kehakiman.
Trapero disoal siasat di mahkamah berhubung tuduhan menghasut kerana mengendalikan protes prokemerdekaan bulan lalu di Catalonia dan kerana gagal menghentikan referendum kemerdekaan yang melangkaui undang-undang di wilayah itu.
Seorang hakim akan membuat keputusan itu sama ada bersetuju menahan reman atau tidak, kata sumber kehakiman.
Trapero didakwa gagal mengarahkan polis wilayah Catalonia, Mossos d’Esquadra untuk menyelamatkan polis pengawal negara yang terperangkap di dalam bangunan kerajaan Catalonia di Barcelona pada 20 September, oleh penunjuk perasaan prokemerdekaan.
Penunjuk perasaan mengepung bangunan itu selepas mengetahui polis pengawal menyerbu kementerian Catalonia dalam sebahagian usaha menghalang referendum 1 Oktober itu.
Selain Trapero, mahkamah turut menyoal siasat dua pemimpin berkaitan prokemerdekaan Jordi Cuixart yang mengetuai Omnium Cultural, dan presiden Perhimpunan Negara Catalonia Jordi Sanchez, juga di bawah kesalahan menghasut.
Dua kumpulan itu mengadakan demonstrasi di luar bangunan kementerian ekonomi wilayah Catalonia pada 20 September menyebabkan beberapa kereta polis pengawal negara dirosakkan.
Mengikut undang-undang Sepanyol, kesalahan menghasut boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 15 tahun. – AFP, 16 Oktober, 2017.
Komen