Lagi tuduhan rasuah ke atas bekas CEO SSM


Kalidevi Mogan Kumarappa

Bekas CEO SSM Zahrah Abd Wahab Fenner dan anaknya Abdulazeez Wan Ruslan (belakang) akan didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini atas empat pertuduhan rasuah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Oktober, 2019.

BEKAS ketua pegawai eksekutif (CEO) Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Zahrah Abd Wahab Fenner dan anaknya Abdulazeez Wan Ruslan akan didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh, hari ini atas empat pertuduhan rasuah, kata sumber.

Minggu lalu, Zahrah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas 33 pertuduhan menerima rasuah lebih RM5 juta antaranya terkait dengan penganjuran beberapa program di bawah SSM dalam tempoh empat tahun lalu.

Abdulazeez pula dikenakan empat tuduhan bersubahat dengan ibunya dan menerima suapan.

The Malaysian Insight difahamkan empat kes yang akan didakwa di Ipoh hari ini membabitkan kelulusan ke atas projek pelaburan bernilai RM20 juta pada April tahun lalu.

Kelulusan itu didakwa melibatkan rasuah berjumlah RM250,000, kata sumber.

Pada Januari lalu, SPRM melakukan siri serbuan di Lembah Klang dan beberapa negeri lain termasuk Pahang dan Sarawak bagi menyiasat pemberian projek dalam SSM susulan dakwaan ada salah laku rasuah.

Sebuah badan masyarakat sebelum itu menyerahkan memorandum kepada SPRM mendakwa beberapa projek SSM diberikan kepada individu dan syarikat yang sama.

Memorandum itu turut menyenaraikan maklumat yang sebelumnya dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Kinabatangan Bung Moktar Radin di Dewan Rakyat, yang mendedahkan dakwaan kelemahan SSM pada November tahun lalu. – 7 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen