Gabenor baharu Jakarta angkat sumpah


Al-Quran dipegang di sisi Gabenor Jakarta yang baharu Anies Baswedan (tengah) dan timbalannya ahli perniagaan Sandiaga Uno ketika upacara mengangkat sumpah di Istana Presiden di Jakarta hari ini. – Gambar AFP, 16 Oktober, 2017.

GABENOR Jakarta yang baharu, seorang Muslim mengangkat sumpah hari ini selepas beberapa bulan menang pilihan raya menentang lawannya yang beragama Kristian hingga menyebabkan perpecahan agama dan etnik di negara paling ramai umat Islam itu.

Anies Baswedan, seorang ahli akademik dan bekas menteri pendidikan mengangkat sumpah bersama timbalannya, Sandiaga Uno, hampir enam bulan selepas menewaskan penyandang jawatan itu, Basuki Tjahaja Purnama atau Ahok.

Ahok yang juga gabenor Jakarta pertama bukan beragama Islam dalam tempoh setengah abad dan pertama daripada etnik Cina, mencetuskan protes besar-besaran diketuai golongan radikal agama susulan kenyataan menghina Islam yang dibuatnya.

Beliau dikenakan hukuman penjara dua tahun atas kesalahan menghina Al-Quran, sebulan kemudian.

Selepas mengangkat sumpah, Baswedan berjanji mentadbir untuk semua kaum dan agama di Jakarta.

“Pilihan raya hanya mekanisme untuk menentukan siapa jadi gabenor dan mandat daripada perlembagaan adalah untuk semua penduduk Jakarta. Kita mahukan Jakarta yang adil untuk semua,” katanya kepada wartawan.

Baswedan dikritik kerana dikatakan bersama kumpulan konservatif yang membantunya menganjurkan protes besar-besaran terhadap pesaingnya, Ahok.

Selepas menang, beliau meraikannya bersama kumpulan Islamik berkenaan dengan bersolat di masjid utama.

Sepanjang kempennya, gabenor berusia 48 tahun itu berjanji menyediakan perumahan murah dan menghakis pelacuran.

Beliau juga mengisytiharkan bantahan terhadap usaha Ahok membersihkan ibu kota itu menerusi pengusiran penduduk yang tinggal secara haram di tepi tebing sungai.

Menjadi gabenor Jakarta amat penting bagi kedudukan politik negara dan sering dilihat sebagai batu loncatan bagi jawatan lebih tinggi dalam kerajaan.

Presiden Joko Widodo juga pernah menjadi gabenor Jakarta dari 2012-2014, bersama Ahok sebagai timbalannya. – AFP, 16 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen