HUJAN lebat memadamkan kebakaran yang memusnahkan berjuta hektar hutan tropika Chiquitania, Bolivia sejak beberapa bulan lalu, kata pihak berkuasa semalam.
“Hujan lebat di seluruh Chiquitania. Satelit menunjukkan tiada lagi kebakaran yang masih berlaku,” kata Cynthia Asin, pegawai jabatan pembangunan mampan di wilayah Santa Cruz.
Bagaimanapun, Asin berkata anggota bomba perlu menunggu selama 24 jam untuk memastikan api padam sepenuhnya sebelum keluar dari kawasan terjejas.
Kebakaran hutan Bolivia sejak Mei lalu semakin teruk pada Ogos.
Pada Ogos, kerajaan menghantar pesawat Supertanker Boeing 747 dan Ilyushin buatan Rusia untuk memadam kebakaran, selain mengerahkan 5,000 anggota bomba, tentera dan polis.
Sejak Ogos lebih empat juta hektar hutan terbakar.
Tiada laporan sama ada kebakaran hutan di wilayah lain termasuk Tarija dan Cochabamba dipadamkan.
Akrivis alam sekitar menyalahkan undang-undang yang digubal pentadbiran Presiden Evo Morales, yang menggalakkan pembakaran hutan dan padang rumput untuk tujuan pertanian.
Kerajaan berkata kebakaran hutan disebabkan oleh cuaca kering dan tiupan angin. – AFP, 7 Oktober, 2019.
Komen