PRESIDEN Turki Recep Tayyip Erdogan dan rakan sejawatnya dari Amerika Syarikat (AS), Donald Trump setuju untuk mengadakan pertemuan di Washington bulan depan bagi membincangkan tentang “zon selamat” di utara Syria.
Pejabat presiden semalam berkata persetujuan dicapai melalui panggilan telefon.
“Erdogan memberitahu Trump beliau kecewa mengenai kegalan tentera AS dan birokrasi keselamatan melaksanakan perjanjian itu,” menurut kenyataan pejabat presiden.
Kenyataan itu menambah, Trump menjemput Erdogan mengadakan pertemuan.
Turki sebelum ini menjangkakan pertemuan antara kedua-dua pemimpin itu selepas Perhimpunan Agung PBB baru-baru ini, malangnya ia tidak berlaku.
Erdogan pada Sabtu memberi amaran Ankara akan melancarkan serangan rentas sempadan paling cepat “esok atau hari ini”, untuk memberi tekanan kepada AS.
Media Turki juga melaporkan pasukan tentera bantuan dihantar ke sempadan Syria selepas Erdogan berkata demikian.
Washington cuba menghentikan mana-mana operasi Turki ke atas puak Kurdish yang disokong AS.
AS bekerjasama rapat dengan Unit Perlindungan Rakyat Kurdish (YPG) menentang Daesh dengan menawan banyak wilayah yang dikuasai kumpulan militan itu.
Selepas rundingan AS-Turki diakhiri dengan perjanjian yang dicapai paoa Ogos, tentera kedua-dua negara menjalankan rondaan bersama di darat dan udara di utara Syria.
Bagaimanapun, Turki menuduh AS menangguhkan pembentukan “zon selamat” di utara Syria.
Melalui panggilan telefon itu, kedua-dua pemimpin membincangkan mengenai perkara tersebut dan Erdogan memberitahu Trump Turki akan meletakkan “syarat-syarat tertentu” supaya pelarian Syria kembali ke negara bergolak itu. – AFP, 7 Oktober, 2019.
Komen