SEORANG lelaki Austria membunuh bekas teman wanita, tiga anggota keluarga dan teman lelaki baharunya dalam satu kejadian tembakan di sebuah resort ski mewah, kata polis.
Lelaki berusia 25 tahun itu kemudian menyerahkan diri kepada polis.
Hubungannya dengan gadis berusia 19 tahun itu berakhir dua bulan lalu, namun dia muncul sekitar pukul empat pagi di chalet penginapan bekas kekasih dan keluarganya tinggal di Kitzbuehel di pergunungan Alps, Austria.
Selepas bapa gadis itu memintanya pergi, dia kemudian mengambil pistol milik abangnya dan kembali ke chalet berkenaan.
Ketika bapa bekas teman wanitanya membuka pintu pada pukul 5.30 pagi, suspek menembaknya, sebelum menembak saudara lelaki dan ibunya, menurut keterangan yang diberikan kepada polis.
Dia kemudian memanjat balkoni untuk mencari bekas teman wanita dan teman lelaki baharunya yang sedang tidur di sebuah bilik.
Suspek kemudian menyerahkan diri ke balai polis terdekat, memberitahu pegawai polis bahawa dia telah membunuh lima orang.
Menurut statistik kementerian dalam negeri, daripada 73 mangsa pembunuhan di Austria tahun lepas, 41 adalah wanita. Setengah daripada keseluruhan pembunuhan pada tahun 2018 dilakukan oleh pelaku yang mengenali mangsanya.– AFP, 6 Oktober, 2019.
Komen