KENAIKAN harga runcit dan barangan menjadi kebimbangan utama majoriti golongan pertengahan yang mana hampir ke semua mereka mahu kerajaan melakukan sesuatu bagi menurunkan harga barang.
Kaji selidik yang dijalankan di tiga wilayah, 8 daripada 10 keluarga dalam golongan B40 berkata demikian kepada The Malaysian Insight apabila ditanya apa “harapan utama mereka” untuk Belanjawan 2020.
Kesemua mereka berkata, setiap bulan mereka terpaksa bergelut setiap bulan untuk memastikan makanan cukup untuk anak-anak mereka, bayar bil utiliti, membayar sewa dan pinjaman untuk kereta dan motosikal mereka.
Walaupun akaun bank mereka hampir kosong pada setiap hujung bulan, namun seorang daripada mereka meminta kerajaan berikan lebih bantuan kewangan sekaligus menolak persepsi bahawa golongan pertengahan ini mempunyai “mentaliti subsidi”.
Kesemua mereka berkata, mereka layak menerima Bantuan Sara Hidup (BSH) daripada kerajaan, dan menambah ianya mencukupi.
Apa yang mereka mahukan adalah Putrajaya menurunkan harga barang sama ada dengan campur tangan secara langsung dalam pasaran atau mengurangkan harga petrol dan diesel.
“BSH sudah mencukupi. Saya masih menerimanya setiap bulan,” kata seorang pemandu lori Ruzizam Ibrahim, 38, yang tinggal di Puchong Perdana.
“Saya cuma harap kerajaan dapat buat sesuatu mengenai harga barangan,” katanya yang berpendapatan RM2,500 sebulan yang dibelanjakan untuk isteri dan tiga anaknya.
Sementara itu, tukang jahit dari Klang Yusnani Abdul Daud, 39, berkata beliau tidak mengharapkan pemberian daripada kerajaan.
“Saya hanya mahukan lebih banyak peluang untuk berniaga atau menjalankan kerja tambahan untuk jana pendapatan lebih. Saya mahukan peluang bukannya bantuan,” kata ibu kepada dua cahaya mata itu.
Seorang lagi peniaga kecil yang menjalankan perniagaan roti canai dari Pulau Pinang Jamil Omar berkata, beliau mahukan bantuan untuk mengembangkan perniagaannya.
“Sekarang saya berniaga tepi jalan. Saya tak tahu macam mana untuk dapatkan bantuan. Jika saya buat pinjaman bank, saya takut tak boleh bayar balik,” kata bapa kepada dua anak itu.
“Saya tidak mahu duit tapi mahu bantuan dalam bentuk peralatan atau mesin untuk buat doh,” kata Jamil yang meraih pendapatan antara RM1,000 dan RM2,000 daripada perniagaan gerainya.
Seorang kerani dari Sarawak Julian Janang, 34, berharap kerajaan dapat menurunkan lagi harga minyak kerana ia secara langsung memberi kesan kepada kos harga barangan.
“Saya berharap terdapat langkah untuk menstabilkan harga minyak Ia boleh berikan kesan rantaian yang mana ia juga boleh menstabilkan harga barangan keperluan harian lain, seperti makanan, kos pengangkutan awam,” katanya.
Masa depan anak-anak yang meragukan
Menteri Kewangan Lim Guan Eng akan membentangkan Belanjawan 2020 pada 11 Oktober dan menurut laporan terdahulu, ia mungkin mensasarkan untuk meningkatkan perbelanjaan dan pelaburan domestik bagi menghadapi ekonomi dunia yang suram.
Tahun lalu, kerajaan Pakatan Harapan (PH) membelanjakan RM5 bilion untuk bantuan BSH kepada 4.1 juta isi rumah yang berpendapatan di bawah RM4,000.
Setiap keluarga menerima antara RM500 dan RM1,000, bergantung kepada jumlah tanggngang seperti anak-anak dan warga emas, serta pendapatan mereka.
Pakar-pakar telah menyalahkan gabungan harga import makanan negara yang tinggi, nilai pertukaran ringgit dan amalan monopoli dalam rantaian bekalan negara kerana menyebabkan harga runcit naik.
TMI menemubual 10 keluarga di Pulau Pinang, Selangor dan Sarawak dan bertanya kepada mereka apa perbelanjaan bulanan terbesar mereka dan apa yang mereka harapkan dari Belanjawan 2020.
Daripada lapan yang ditemubual dalam kategori B40, semuanya berpendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan dan hanya seorang yang tidak mempunyai anak.
Wong, 42, seorang pengurus di sebuah kedai membaiki telefon bimbit berkata, dia tidak mampu membeli sebuah rumah kos rendah dengan pendapatan bulanannya sebanyak RM2,000 sebulan.
“Saya telah memohon semua skim perumahan kerajaan tetapi tidak menerima jawapan,” katanya merujuk skim PR1MA di bawah pemerintahan kerajaan Barisan Nasional sebelum ini dan program rumah pertama Pakatan Harapan.
“Saya berharap kerajaan dapat memberi lebih banyak bantuan kepada orang seperti saya untuk memiliki rumah,” katanya yang masih bujang dan tinggal di Shah Alam.
Pemandu teksi Rajan Manikam, 65, dari Subang bersyukur kerana anak-anaknya yang sudah dewasa dapat membantu dengan perbelanjaan rumah tetapi bimbang tentang masa depan mereka.
“Setiap bulan perbelanjaan untuk makan sehingga RM1,000, setiap hari kami menghabiskan sehingga RM40 hanya untuk beli sayur-sayuran,” kata bapa kepada dua anak itu.
“Anak-anak saya sudah bekerja dan mereka membantu dengan perbelanjaan tetapi saya bimbang tentang gaji orang muda hari ini. Gaji mereka sangat rendah dan harga barangan kini begitu mahal.
“Ia lebih baik ketika zaman saya dahulu. Masa itu, gaji kami tidak besar tetap harga barangan sangat murah.” – 7 Oktober, 2019.
Komen