KABINET Perdana Menteri Iraq Adel Abdel Mahdi mengumumkan siri pembaharuan pentadbiran pada awal hari Ahad selepas mesyuarat “luar biasa” bagi mengendurkan perhimpunan anti kerajaan yang menyebabkan hampir 100 orang terkorban.
Warga Iraq berkumpul di Baghdad dan selatan negara itu sejak Selasa lalu bagi menuntut pembaharuan kerajaan, yang dijanjikan Abdel Mahdi ketika beliau mengambil alih pentadbiran kerajaan setahun lalu.
Pada awal pagi Ahad, kabinetnya mengeluarkan keputusan mesyuarat termasuk beberapa rancangan pembaharan, antaranya pengagihan tanah, pendaftaran anggota tentera dan peningkatan taraf kebajikan bagi keluarga yang memerlukan.
Bagi menangani isu pengangguran belia yang meningkat secara mendadak, kerajaan berkata ia akan mewujudkan kompleks pasaran yang besar bagi meningkatkan manfaat kepada mereka yang tidak bekerja.
Di bandar Kut pada bulan lalu, seorang lelaki warga Iraq meninggal dunia selepas dia membakar dirinya setelah pihak berkuasa merampas kios bergeraknya.
Sektor awam masih menjadi majikan terbesar di Iraq, sebuah negara yang memiliki populasi 40 juta orang, namun ia masih berhempas pulas untuk menyerap graduan universiti baharu beberapa tahun kebelakangan ini.
Pihak berkuasa tempatan juga baru-baru ini meruntuhkan unit-unit perumahan tanpa permit, yang menjadi sebahagian tempat tinggal tiga juta warga Iraq di seluruh negara.
Bermula Selasa, para penunjuk perasaan berkumpul di Baghdad dan ia merebak ke kawasan bermajoriti Syiah di selatan tanpa mempedulikan sekatan internet, gas pemedih mata dan juga peluru hidup. – AFP, 6 Oktober, 2019.
Komen