Keadaan Hong Kong kembali tegang


Polis Hong Kong melepaskan gas pemedih mata terhadap kumpulan penunjuk perasaan.– Gambar EPA, 6 Oktober, 2019.

POLIS Hong Kong bertindak melepaskan tembakan gas pemedih mata selepas puluhan ribu penunjuk perasaan turun ke jalan raya bagi membantah larangan topeng muka.

Sekumpulan besar penunjuk perasaan berarak dalam hujan pada perhimpunan di Pelabuhan Victoria manakala polis bertempur dengan penunjuk perasaan lain di beberapa lokasi.

Keadaan itu sekali lagi mencetuskan ketegangan dan menyebabkan keadaan huru-hara.

Seorang pemandu teksi dilaporkan dibelasah di daerah Sham Shui Po selepas bertindak melanggar sekumpulan penunjuk perasaan yang mengepung keretanya.

“Dua wanita dilanggar kereta dan seorang lagi tersepit antara kereta dan kedai,” menurut saksi yang hanya mahu dikenali sebagai Wong kepada AFP. 

Jurugambar AFP turut menyaksikan pasukan perubatan sukarelawan memberi rawatan kepada pemandu dan wanita terbabit sebelum anggota paramedik dan polis tiba di tempat kejadian. 

Penunjuk perasaan lain yang melihat insiden itu kemudian bertindak merosakkan teksi berkenaan. 

Para aktivis mengadakan flashmob di seluruh bandar raya itu sejak beberapa hari lalu selepas pemimpin Hong Kong mengharamkan penggunaan topeng muka ketika mengadakan perhimpunan. 

Ada di antara penunjuk perasaan bertindak merosakkan stesen kereta api bawah tanah dan kedai. – AFP, 6 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen