TINDAKAN seorang pemandu lori tidak meletakkan kenderaannya yang rosak di lorong kecemasan telah meragut dua nyawa di Kilometer 294.4 Lebuhraya Utara Selatan arah utara, awal pagi ini.
Dalam kemalangan membabitkan dua buah lori kira-kira pukul 4.35 pagi itu, seorang pemandu, Abd Rafiq Rejab, 29, dan kelindan Robian Ramly, 43, yang kedua-duanya berasal dari Perlis, maut di lokasi, manakala pemandu sebuah lagi kenderaan, Mohd Zaihini Shari, 43, tidak mengalami sebarang kecederaan.
Ketua Polis Daerah Kampar Supt Hasron Nazri Hashim berkata siasatan mendapati kemalangan berlaku semasa lori dengan muatan ikan yang dipandu Abd Rafiq dari Kuala Lumpur ke Ipoh gagal dikawal sebaik tiba di lokasi sebelum melanggar bahagian belakang lori Mohd Zaihini yang diletakkan di lorong kiri.
“Rakaman percakapan, menunjukkan Mohd Zaihini tidak berusaha untuk memandu lori dengan muatan minyak masak ke lorong kecemasan setelah mengetahui ia mengalami kerosakan.
“Siasatan lanjut mendapati Mohd Zaihini hanya meletakkan papan tanda segi tiga pada jarak lima meter sedangkan jarak mengikut piawaian adalah 30 meter dan menyalakan isyarat berkembar pada kenderaannya,” katanya dalam satu kenyataan di Ipoh hari ini.
Hasron Nazri berkata bedah siasat di Hospital Kampar mendapati Abd Rafiq dan Robian maut disebabkan kecederaan parah akibat pelanggaran kenderaan.
Katanya, Mohd Zaihini telah ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Bernama, 6 Oktober, 2019.
Komen