Ahli politik Bangladesh berdepan tindakan keras kempen antirasuah


Sheikh Hasina mengambil tindakan keras terhadap ahli politik yang melakukan rasuah bagi mengelak rampasan kuasa tentera yang sentiasa memantau gejala rasuah pemimpin kerajaan. – Gambar EPA, 6 Oktober, 2019.

SEORANG ahli politik parti pemerintah Bangladesh yang didakwa melakukan hubungan dengan dunia jenayah ditangkap pada hari Ahad dalam kempen banteras rasuah dipimpin perdana menteri, di tengah-tengah tuduhan rasuah terhadap kerajaannya.

Perdana Menteri Sheikh Hasina bulan lalu melancarkan tindakan keras itu, dengan mengatakan ia adalah langkah perlu bagi mengelak rampasan kuasa yang berlaku Januari 2007 dilakukan oleh tentera, yang mengatakan penanganan rasuah merupakan salah satu matlamat pasukannya.

Ahli politik daripada sayap pemuda Dhaka, Liga Parti Awami, Ismail Hossain Samrat, ditangkap bersama rakannya, kata pasukan elit polis Bangladesh.

“Samrat ditangkap atas tuduhan konkrit,” kata jurucakap Batalion Tindakan Segera (RAB) Mizanur Rahman Bhuiyan kepada AFP, namun beliau tidak mendedahkan tuduhan yang dikenakan ke atas ahli politik itu.

“Dia dikaitkan dengan operasi kasino di kelab-kelab sukan di Dhaka,” kata pegawai kanan RAB yang tidak mahu namanya didedahkan kepada AFP, .

Media tempatan mendakwa Samrat adalah seorang ketua dunia jenayah yang menggunakan pengaruh politiknya bagi mengendalikan rangkaian kasino haram.

Samrat adalah ahli politik paling kanan yang ditangkap dalam kempen banteras rasuah tersebut, polis juga turut menangkap 260 ahli politik lain - termasuk sekurang-kurangnya tiga pegawai parti pemerintah.

Perjudian diharamkan di negara bermajoriti muslim konservatif itu, namun rangkaian jenayah dituduh memperkenalkan peralatan kasino seperti meja permainan di beberapa kelab sukan terkenal. – AFP, 6 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen