PENGUNDIAN Pilihan Raya Umum Portugal pada hari Ahad menyaksikan calon Perdana Menteri Antonio Costa yang berfahaman sosialis mendahului namun tidak memiliki majoriti yang cukup bagi mentadbir sendirian.
Stesen pengundian dibuka sejak pukul 8 pagi waktu tempatan dan akan ditutup pada pukul 7 malam. Keputusan pengundian dijangka akan diumumkan selepas pukul 8 malam.
Di bawah pentadbiran Costa, defisit belanjawan dilihat menguncup dan ekonomi juga dilaporkan berkembang lebih daripada purata yang digazetkan Kesatuan Eropah apabila pentadbirannya mengambil dasar berjimat-cermat yang dilihat tidak popular, berbeza dengan pentadbiran sebelumnya.
Seorang yang berfahaman sosialis, Costa mentadbir selama empat tahun dengan sokongan daripada dua parti berhaluan kiri.
Daripada kerjasama tersebut beliau berjaya mendahului Parti Demokrat Sosial (PSD).
Tinjauan terakhir yang diterbitkan pada hari Jumaat mengumumkan Costa menerima 36-39 peratus sokongan, berbanding 25-30 peratus bagi PSD yang merupakan pembangkang utama.
Di bawah sistem perwakilan berkadar di Portugal, majoriti mutlak di parlimen sebelum ini dapat dicapai dengan 42 peratus hingga 45 peratus undi, Costa mungkin memerlukan sokongan sekurang-kurangnya satu parti lain bagi meneruskan pemerintahan.
Pilihan yang dijangka menjadi sasaran beliau termasuk Parti Komunis dan Blok Kiri yang sebelum ini menyokong pemerintahannya, serta parti baharu yang memiliki potensi, Parti Alam Sekitar (PAN) yang mempunyai sokongan sebanyak 3-4 peratus. – AFP, 6 Oktober, 2019.
Komen