GURU-guru di Jordan menamatkan mogok yang berlangsung selama sebulan Ahad selepas mencapai persetujuan dengan kerajaan bagi kenaikan gaji.
Mogok yang bermula 8 September lalu, melumpuhkan perjalanan kira-kira 4,000 sekolah awam di negara monarki itu di mana lebih daripada 1.4 juta pelajar terjejas.
Para guru dalam perkhidmatan awam menuntut kenaikan 50 peratus bagi gaji “yang paling rendah di kalangan pekerja perkhidmatan awam,” menurut kesatuan guru yang melancarkan mogok terseut.
Pemimpin kesatuan Nasir al-Nawasra berkata mogok “bersejarah” itu dihentikan setelah kesepakatan dicapai dengan kerajaan mengenai “kenaikan gaji dan permohonan maaf daripada pihak kerajaan”.
Kesatuan guru yang mewakili 100,000 guru, dijanjikan penilaian semula tangga gaji ahli-ahlinya dari 35 hingga 75 peratus, katanya kepada sidang akhbar di Amman.
Kerajaan sebelum ini enggan memenuhi tuntutan kesatuan itu sebaliknya mencadangkan tambahan 24 hingga 31 dinar (US$34-US$44) pada akhir bulan September.
Gaji bulanan guru sekolah awam di Jordan dikatakan berjumlah antara US$500 hingga US$1,000.
Perdana Menteri Omar al-Razzaz mendakwa tambahan nilai gaji itu adalah kemampuan kerajaan yang dapat “diberikan dalam keadaan ekonomi semasa”.
Jordan yang bergantung kepada bantuan asing dan sedang berusaha mengekang hutangnya sejak memperoleh pinjaman dari Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) pada tahun 2016.
Jordan menyalahkan masalah ekonominya terhadap ketidakstabilan yang menghancurkan rantau ini di samping bebanan menanggung ratusan ribu pelarian Syria tanpa sokongan antarabangsa yang mencukupi.
Lebih daripada 650,000 pelarian Syria berdaftar dengan agensi pelarian PBB di Jordan. – AFP, 6 Oktober, 2019.
Komen