Protes pro demokrasi terus berlangsung di Hong Kong


Penunjuk perasaan di Hong Kong memakai topeng Guy Fawkes ketika berarak di beberapa lokasi di hab kewangan antarabangsa itu. Demonstrasi masih berlangsung sejak lebih empat bulan lalu. – Gambar EPA, 6 Oktober, 2019.

KEBANYAKAN perkhidmatan kereta api bawah tanah di Hong Kong masih ditutup susulan aktivis pro demokrasi berjanji untuk terus memprotes dan pembangkang cuba mencabar larangan memakai topeng muka ketika tunjuk perasaan.

Ribuan penunjuk perasaan terus berarak dalam tunjuk perasan di beberapa lokasi semalam, sehari selepas pemimpin Hong Kong menguatkuasakan larangan memakai topeng muka ketika berpiket.

Undang-undang berkenaan yang tidak dikuatkuasakan selama 52 tahun, dilaksanakan bertujuan membendung rusuhan yang berlaku selama berbulan-bulan di bandar raya itu.

Sebaliknya, ia terus mencetuskan pertempuran dan perhimpunan serta bantahan di seluruh Hong Kong.

Ketua Eksekutif Hong Kong Carrie Lam berkata arahan itu dikeluarkan mengikut Ordinan Peraturan Darurat yang membenarkannya melangkaui badan perundangan.

Ia juga membolehkan Lam menggubal sebarang undang-undang, sepanjang tempoh darurat atau ketika berlaku ancaman terhadap kepentingan awam.

Forum online yang digunakan pergerakan prodemokrasi turut mengajak penunjuk perasaan mengadakan protes di Victoria Park, lewat hari ini. – AFP, 6 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen