SEORANG pemandu jentera angkat susun sebuah kilang cedera parah selepas ditembak lelaki tidak dikenali dalam kejadian di hadapan sebuah apartmen di Taman Inderawasih, Perai di Bukit Mertajam awal hari ini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, ACP Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata dalam kejadian pukul 2.08 pagi itu, lelaki berusia 26 tahun bersama empat rakannya sedang berbual di hadapan kawasan perumahan berkenaan sebelum sebuah kereta jenis Proton Waja melalui kawasan itu dalam keadaan mencurigakan.
“Kereta itu kemudiannya dilihat sekali lagi melalui kawasan tersebut dan pemandunya dipercayai seorang lelaki bertindak memecut laju ketika berada di hadapan kumpulan mangsa serta rakannya sehingga membuatkan mereka curiga. Seorang daripada rakan mangsa kemudian mengejar kenderaan tersebut,” katanya kepada pemberita di Bukit Mertajam hari ini.
Beliau berkata mangsa yang pada ketika itu berada di atas motosikal miliknya bertindak membantu rakannya mengejar kereta berkenaan dengan menunggang motosikal namun tidak berhasil selepas kenderaan tersebut terus hilang daripada pandangan.
Menurutnya semasa lelaki itu dan rakannya yang masing-masing menunggang motosikal sedang mengejar kereta Proton Waja berkenaan, sebuah Perodua Myvi telah memintas mereka sebelum seorang lelaki yang duduk di tempat penumpang hadapan melepaskan dua das tembakan ke arah mangsa yang mengenai lengan dan perutnya.
Nik Ros Azhan berkata lelaki tersebut dirawat di Hospital Seberang Jaya dan dilaporkan dalam keadaan stabil.
Beliau berkata menurut lelaki itu, dia tidak mengenali suspek yang menembaknya dan tidak mempunyai masalah dengan sesiapa.
“Selain itu, mangsa dan rakannya turut memberitahu bahawa mereka tidak dapat mengecam wajah suspek memandangkan cermin kereta itu yang gelap dan kejadian berlaku sangat pantas,” katanya.
Menurutnya semakan ke atas Proton Waja dan Perodua Myvi itu mendapati kedua-duanya menggunakan nombor pendaftaran palsu dan siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mendapatkan rakaman kamera litar tertutup di kawasan tersebut bagi mengenal pasti suspek terlibat.
Beliau berkata setakat ini polis belum menemui kelongsong peluru dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan bunuh.– Bernama, 6 Oktober, 2019.
Komen