PERDANA Menteri Palestin Rami Hamdallah pada Isnin bertemu Duta Khas Amerika Syarikat (AS) ke Timur Tengah Jason Greenblatt di Tebing Barat dan menggesa AS memberikan tekanan kepada Israel berhubung isu petempatan di kawasan terbabit, lapor agensi berita China Xinhua.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri itu, pertemuan tersebut turut menyentuh isu perdamaian nasional dan usaha terkini Presiden AS Donald Trump untuk menghidupkan semula proses damai antara Palestin dan Israel.
Hamdallah berkata halangan utama dalam proses perdamaian itu ialah pendudukan Israel dan peluasan petempatan, yang beliau sifatkan sebagai pemusnah kepada penyelesaian dua negara serta penubuhan negara Palestin secara geografi.
Beliau menggesa pentadbiran AS untuk memberikan tekanan kepada Israel bagi membolehkan kerajaan Palestin bebas bergerak di wilayah yang diklasifikasi sebagai Kawasan C di Tebing Barat dan menghentikan aktiviti petempatan di wilayah diduduki rejim itu.
Di bawah Perjanjian Oslo interim yang dimeterai antara Pertubuhan Pembebasan Palestin dan Israel pada 1993, Tebing Barat dibahagikan kepada tiga zon: A, B dan C, dengan kawasan A di bawah kawalan Palestin, B di bawah penyelarasan keselamatan Israel dan kawalan pentadbiran Palestin, manakala C di bawah kuasa penuh Israel.
Pembinaan petempatan Israel merupakan antara isu utama dan paling rumit dalam rundingan Palestin-Israel.
Rundingan damai antara Palestin dan Israel telah terhenti sejak April 2014.
Rundingan yang ditaja AS itu berlangsung selama sembilan bulan tanpa membuahkan sebarang hasil. – Bernama, 16 Oktober, 2017.
Komen