Dividen LTAT: Jangan hina perajurit kita


SEORANG blog, Raggie Jessy Rithaudeen membuat tuduhan jahat terhadap DAP dan Amanah, dalam tulisannya bertajuk “LTAT, Tabung Haji: Amanah bantu DAP rompak dana milik Melayu-Islam?”

Tuduhan jahat sedemikian tiada lain bertujuan untuk memainkan sentimen perkauman yang tidak ada kena mengena, dan langsung tidak berasas terhadap parti-parti kerajaan. Suatu laporan polis dibuat dan saya berharap supaya pihak berkuasa dapat mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap penyebaran mesej kebencian yang cuba dilakukan oleh penulis ini.

Hakikat yang tidak dapat dielakkan adalah kerajaan persekutuan Pakatan Harapan (PH) kini mewarisi kepincangan yang ditinggalkan oleh pentadbiran Najib Razak yang korup, lemah dan bermasalah.

Beban yang ditinggalkan itu turut melibatkan Kementerian Pertahanan dan agensi-agensinya. Kini pihak Kementerian sedang dalam proses memulihkan masalah yang lahir daripada kerakusan politik pentadbiran lama.

Perlu ditegaskan ini bukanlah alasan, sebaliknya ia fakta dan kebenaran semata-mata yang menjadi sebab mengapa Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) mengumumkan dividen 2% saja bagi tahun kewangan 2018.

LTAT telah pun mendedahkan siasatan dan dapatan audit oleh Ernst & Young pada 26 September lalu yang menyenaraikan tujuh kelemahan kewangan utama pada era Najib termasuk keadaan di mana LTAT terlebih bayar dividen dalam keadaan pulangan aset yang jauh lebih rendah berbanding kadar dividen yang diumumkan.

Pihak Kementerian Pertahanan memandang serius dapatan audit terbabit dan memberi komitmen untuk memperbaiki LTAT.

Saya yakin Ketua Pegawai Eksekutif LTAT yang baharu Nik Amlizan Mohamed, mampu memulihkan LTAT dengan pendekatan pengurusan yang lebih telus, berintegriti dan bertanggungjawab demi kepentingan anggota tentera serta mengangkat kembali maruah kerajaan serta negara.

Cubaan pihak tertentu untuk memutar belit, mempolitikkan dan mempermainkan angkatan tentera dalam isu dividen LTAT adalah satu penghinaan kepada anggota tentera pembela tanah air kita.

Reaksi bekas-bekas menteri pertahanan era Barisan Nasional dalam isu LTAT, termasuk Najib Razak dan Hishammuddin Hussein, menggambarkan seolah-olah bencana kewangan yang berlaku itu bukan salah mereka. Sikap mereka yang cuba lari daripada tanggungjawab kini dengan jelas boleh dilihat dan dihakimi oleh rakyat.

Saya minta pihak berkuasa agar memantau serta mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap fitnah serta penyebaran mesej kebencian yang cuba memperlekeh serta menghina perajurit negara. – 6 Oktober, 2019.

* Liew Chin Tong ialah timbalan menteri pertahanan.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen