ADA pihak tertentu cuba mengambil kesempatan terhadap kebaikan orang Melayu dengan sengaja cuba mencabar kontrak sosial yang menjadi asas Perlembagaan Persekutuan, kata Ketua Eksekutif Sekretariat Kongres Maruah Melayu Zainal Kling.
Zainal dalam ucapan membuka kongres membayangkan sekiranya kontrak sosial terus diancam, orang Melayu berhak untuk menolak apa yang telah dipersetujui dengan orang bukan Melayu yang telah diberi kerakyatan.
Beliau mengingatkan perjanjian memberikan kerakyatan kepada kaum lain itu adalah kerana budi baik orang Melayu.
“Mari ambil peringatan, perjanjian mendapatkan kerakyatan dan kewarganegaran itu daripada budi baik bangsa Melayu yang telah menguasai negara ini sejak 5,000 tahun lalu.
“Kalau ada orang nak remehkan perjanjian ini, maka kita peringatkan… Surah At-Taubah benarkan kita gantung perjanjian itu,” kata Zainal, ketika berucap di Kongres Maruah Melayu di Stadium Malawati, Shah Alam, hari ini.
Beliau merujuk ayat dalam Al-Quran yang merakamkan pernyataan pembatalan perjanjian damai antara Nabi Muhammad dan musyrikin yang tidak memenuhi syarat Perjanjian Hudaibiyah.
“Tanah ini yang kita sedang pelihara yang kita panggil tanah aku, namun dalam budi baik kita ada orang ingin menyeleweng, memainkan kita, mengusik maruah, merendahkan agama Islam, mengeji raja dan kedudukan kita, dan mereka berpaling tadah daripada kontrak sosial yang kita bina sebagai perundangan asas negara yang dinamakan Perlembagaan.
“Meskipun kita beri kerakyatan kerana sejarah lalu, namun mereka sering melanggar baik budi, anugerah dan ada yang menafikan kontrak sosial yang telah kita bina,” kata Zainal.
Zainal turut mengingatkan kedudukan Islam sebagai agama yang dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan, dan bukan hanya semata-mata agama rasmi persekutuan.
Beliau juga menghuraikan asal usul nama “Malaysia” yang menggambarkan bahawa tanah air ini tanah Melayu, sama seperti negara-negara lain yang mengangkat nama bangsa seperti Thailand, India, China dan Jerman.
Kongres hari ini turut mendengar pembentangan resolusi yang menyentuh soal ekonomi, pendidikan, politik, agama dan budaya.
Resolusi itu akan disampaikan kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pada hujung majlis.
Kongres Maruah Melayu dianjurkan oleh Pusat Kecemerlangan Melayu Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Dr Mahathir hadir untuk menyampaikan amanatnya sebagai pemimpin Melayu di hadapan hadirin yang disertai pemimpin politik dari Umno dan PAS.
Umno diwakili Setiausaha Agung Annuar Musa sementara PAS disertai oleh Presiden Abdul Hadi Awang. – 6 Oktober, 2019.
Komen