Dialog AS-Korea Utara di Sweden buntu


AS bentang inisiatif ke arah perkembangan berhubung kenyataan yang dicapai pada pertemuan pertama Trump-Jong-un di Singapura tahun lalu, di Sweden baru-baru ini. – Gambar AFP, 6 Oktober, 2019.

KOREA Utara dan Amerika Syarikat (AS) meninggalkan meja rundingan nuklear di Sweden dengan penilaian berbeza yang disifatkan Pyongyang sebagai gagal.

AS sebaliknya menganggap ia perbincangan yang baik selepas menerima undangan tuan rumah, Sweden untuk menyambung semula dialog dalam masa dua minggu lagi, kata jurucakap Jabatan Negara AS, Morgan Ortagus.

Ia perkembangan terbaru selepas kali terakhir pemimpin Utara, Kim Jong-un dan Presiden Donald Trump bertemu Februari lalu dan selepas Pyongyang melakukan satu lagi ujian peluru berpandu balistik, Rabu lalu.

“Perbincangan itu tidak memenuhi jangkaan kami dan akhirnya gagal mencapai sebarang persetujuan. Ia kerana AS enggan mengubah sikap lamanya itu,” kata ketua perunding Utara, Kim Myong Gil kepada wartawan di Stockholm.

“Kami berada di persimpangan sama ada untuk meneruskan dialog atau konfrontasi.”

AS diwakili rakan sejawat Myong Gil, wakil khas Trump, Stephen Biegun.

Ortagus dalam satu kenyataan berkata, AS membentangkan beberapa inisiatif ke arah perkembangan berhubung kenyataan yang dicapai pada pertemuan pertama Trump-Jong-un di Singapura tahun lalu.

“Ia isu berat dan memerlukan komitmen yang kuat daripada kedua-dua negara. AS mempunyai komitmen itu,” kata Ortagus. – AFP, 6 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen