Hendak selamatkan kawan, 6 gajah liar Thailand maut


Sekawanan gajah itu lemas selepas cuba menyelamatkan salah seekor yang tergelincir ke dalam air terjun di utara Thailand. – Gambar AFP, 6 Oktober, 2019.

ENAM gajah liar lemas selepas terjatuh ke dalam sebuah air terjun di utara Thailand, kata pihak berkuasa semalam, dengan dua ekor lagi berjaya diselamatkan selepas mereka terperangkap ketika cuba menyelamatkan salah seekor gajah daripada hanyut dibawa arus.

Pegawai Taman Negara Khao Yai mendapat notis “tangisan” gajah itu sekitar jam 3 pagi, kata Jabatan Taman Negara, Hidupan Liar dan Pemeliharan Hutan Thailand dalam satu kenyataan.

Selepas berjam kemudian, mereka menemui enam bangkai gajah di air terjun Haew Narok.

Dua daripada gajah itu dilaporkan cuba menyelamatkan seekor lagi yang terjatuh, tetapi terperangkap selepas tergelincir dalam kawasan berbatu air terjun itu.

Video menunjukkan seekor lagi bergelut hendak menyelamatkan diri di kawasan berkenaan.

Pegawai taman mencampak makanan dalam cubaan memberikan mereka tenaga untuk mendaki balik cerun kembali ke hutan.

Dua ekor gajah yang berjaya diselamatkan dilaporkan berada dalam keadaan tertekan.

Jurucakap taman Sompoch Maneerat berkata punca kejadian masih tidak jelas.

“Tiada siapa tahu punca sebenar mengapa mereka terjatuh, tetapi malam sebelumnya hujan lebat,” katanya kepada AFP.

Air terjun itu ditutup kepada pelancong ketika usaha menyelamat berjalan.

Gajah adalah haiwan kebangsaan Thailand dan hidup liar, tetapi jumlahnya semakin berkurangan.

Penebangan hutan memaksa haiwan liar itu mendekati penempatan manusia dan meninggalkan habitat asal mereka. – AFP, 6 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen