‘Pemberontak’ alam sekitar tawan kompleks beli belah Paris


Extinction Rebellion (XR) akan memulakan bantahan aman di seluruh dunia bermula Isnin mendesak tindakan drastik dunia terhadap alam sekitar. – Gambar AFP, 6 Oktober, 2019.

RATUSAN aktivis perubahan iklim mengurung diri mereka dalam sebuah kompleks beli belah di Paris semalam walaupun pasukan keselamatan cuba mengusir mereka menjelang siri bantahan dijadual berlaku di seluruh dunia anjuran pergerakan “Extinction Rebellion” (XR).

Aktivis berdepan polis dan beberapa pengunjung ketika mereka menawan sebahagian kompleks beli belah Italie 2 di selatan Paris.

Mereka memasang sepanduk dengan slogan seperti “bakar kapitalisme bukan petrol” di atas restoran dan tingkap kedai pakaian.

Protes berlaku menjelang bantahan dirancang berlaku di 60 bandar seluruh dunia bermula Isnin ini dalam satu tindakan ketidakpatuhan awam terancang oleh XR, yang memberikan amaran wujud “kiamat” alam sekitar.

Ketika pusat beli belah itu ditutup petang semalam, pasukan keselamata n mengarahkan pembantah meninggalkan kawasan itu, kata aktivis kepada AFP.

Gambar tular di media sosial menunjukkan polis kemudian cuba memasuki bangunan itu yang pintu masuknya disekat oleh penunjuk perasaan dengan meja dan kerusi.

“Saya dengan XR yang sistem gila ini perlu dihentikan sebelum ia memusnahkan semuanya,” kata seorang wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Lucie kepada AFP.

Kumpulan pembantah lain turut menyertai demonstrasi XR itu termasuklah beberapa ahli kumpulan “vest kuning”, kumpulan anti kerajaan.

Bantahan aman dirancang oleh XR akan bermula pada Isnin di Eropah, Amerika Utara, Australia dan dijangka turut diadakan di India, Buenos Aires, Cape Town dan Wellington.

Sebuah lagi protes diadakan di Berlin semalam, dengan penunjuk perasaan berhimpun berhampiran bangunan Parlimen.

XR ditubuhkn tahun lepas di Britain oleh ahli akademik dan menjadi sebuah pergerakan alam sekitar paling pantas berkembang.

Pembantah mahukan kerajaan dunia mengisytiharkan darurat iklim dan ekologi, mengurangkan pembebasan gas rumah hijau menjelang 2025, mencegah kepupusan kepelbagaian biologi dan diterajui oleh “warga baharu” keadilan perubahan iklim dan ekologi. – AFP, 6 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen