Hakim Thailand cuba bunuh diri selepas bebaskan 5 tertuduh Muslim


Yala, Patani dan Narathiwat adalah tiga wilayah di selatan Thailand yang bergolak sejak 2004 apabila pemberontakan menuntut pentadbiran sendiri tercetus dan sudah mengorbankan lebih 7,000 nyawa. – Gambar AFP, 6 Oktober, 2019.

SEORANG hakim di mahkamah di Yala, Thailand menembak diri sendiri selepas membebaskan lima tertuduh Muslim daripada pertuduhan bunuh, lapor Reuters.

Khanakorn Pianchana menembak dadanya selepas membebaskan semua tertuduh daripada pertuduhan bunuh, pertubuhan haram dan senjata api pada tengahari Jumaat.

Beliau membuat penghakiman itu selepas mendapati tidak cukup bukti untuk menyabitkan mereka bersalah. Sehingga semalam, beliau masih dirawat di hospital.

Tindakan Khanakorn itu menimbulkan dakwaan wujud campur tangan dalam sistem kehakiman di wilayah bergolak itu. 

“Saya tak fikir ianya tentang pemberontakan atau tiga wilayah Selatan yang bergolak, dia (Khanakorn) mungkin mahu menyampaikan mesej yang ada masalah dalam keseluruhan sistem penghakiman,” kata penduduk Yala Ameed Mata.

Yala, Patani dan Narathiwat adalah tiga wilayah di selatan Thailand yang bergolak sejak 2004 apabila pemberontakan menuntut pentadbiran sendiri tercetus. Krisis itu sudah mengorbankan lebih 7,000 nyawa. Ketiga-tiga wilayah itu mempunyai majoriti penduduk Islam berbanding Thailand yang dominan Buddha.

Khanakorn didakwa mengeluarkan kenyataan setebal 25 muka surat yang dimuat naik ke Facebook pada Jumaat sebelum menembak dirinya, lapor akhbar Bangkok Post.

Dokumen itu tular di media sosial, bagaimanapun, ketika pecah berita Khanakorn menembak dirinya tersebar, dokumen itu sudah dipadamkan daripada talian.

Dokumen menyatakan, wujud pertikaian pandangan antara Khanakorn dengan hakim kanan apabila beliau mahu membebaskan tertuduh kerana kekurangan bukti.

Ia turut menyatakan kes didengar Khanakorn melibatkan keselamatan negara dan berkaitan dengan kesalahan pertubuhan haram, konspirasi dan senjata api.

Mesej “kembalikan penghakiman kepada hakim” dan “kembalikan keadilan kepada rakyat” diulang sebanyak tiga kali dalam dokumen itu.

Tetapi, dakwaan Khanakorn cuba bunuh diri kerana wujud campur tangan dalam kerjanya dinafikan mahkamah. 

“Dia selamat sekarang. Kami tak tahu mengapa dia buat begitu, mungkin kerana tekanan masalah peribadi,” kata Suriya Hongwilai, jurucakap Mahkamah Keadilan dipetik Reuters.

“Saya boleh mengesahkan tiada campur tangan dalam kerja hakim. Mereka bebas buat penghakiman,” katanya lagi. – 6 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen