Ecuador tahan 350 penunjuk perasaan


Seramai 350 penunjuk perasaan ditahan selepas menentang keputusan kerajaan Ecuador menghapuskan subsidi minyak yang diberikan berdekad lamanya. – Gambar EPA, 5 Oktober, 2019.

SEKURANG-KURANGNYA 350 orang telah ditahan di Ecuador susulan tunjuk perasaan bagi menentang keputusan kerajaan untuk menghapuskan subsidi minyak yang diberikan berdekad lamanya sebagai sebahagian pakej pembaharuan, lapor agensi berita Turki Anadolu.

Dalam satu sidang akhbar di ibu kota Quito, Menteri Dalam Negeri Ecuador Maria Paula Romo berkata 159 orang telah ditahan di bandar pelabuhan Guayaquil.

Romo berkata Jorge Calderon, Presiden Persekutuan Pemandu-Pemandu Teksi Ecuador, dan dua anggota kesatuan pengangkutan adalah antara mereka yang ditahan.

Mogok di seluruh negara yang dilancarkan pekerja-pekerja pengangkutan dan pemandu teksi terhadap penghapusan subsidi itu telah membawa kepada tunjuk perasaan dan keganasan.

Presiden Ecuador Lenin Moreno telah mengisytiharkan perintah darurat selama dua bulan pada Khamis dan berkata Kabinetnya bertekad untuk tidak mengubah keputusan berkaitan “subsidi-subsidi teruk yang merosakkan negara”. – Bernama, 5 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen