SEKURANG-kurangnya 276 orang maut dan lebih 300 yang lain cedera dalam kejadian letupan bom berkembar di Mogadishu, Somalia pada Sabtu, kata seorang pegawai kerajaan pada Isnin lapor agensi berita China Xinhua.
Menteri Penerangan, Abdirahman Osman berkata, hospital di bandar berkenaan kini dipenuhi dengan mangsa yang memerlukan rawatan kecemasan.
Serangan bom kereta itu berlaku di luar pintu masuk sebuah hotel berdekatan dengan persimpangan ke kawasan menempatkan pejabat kerajaan dan restoran.
“Jumlah kematian meningkat kepada 276 orang sekarang dan kira-kira 300 cedera dalam serangan berdarah itu yang dilakukan kumpulan pengganas, Al-Shabaab,” kata Osman menerusi Twitternya.
Kemudian satu lagi letupan berlaku di daerah Madina di bandar berkenaan.
Serangan itu, menyebabkan bangunan musnah dan kenderaan terbakar, ia disifatkan paling buruk berlaku setakat ini di bandar yang telah dicengkam keganasan sejak tiga dekad lampau.
Tiada kumpulan termasuk Al-Shabaab mengaku bertanggungjawab ke atas serangan tersebut.
Beberapa orang dilaporkan masih hilang berdasarkan gambar yang disiarkan di media sosial oleh ahli keluarga mereka. – Bernama, 16 Oktober, 2017.
Komen