7 murid sertai acara jalan kaki cedera terkena serpihan kemalangan


SERAMAI tujuh murid sebuah sekolah rendah yang menyertai acara berjalan kaki cedera selepas terkena serpihan motosikal yang terlibat dalam kemalangan di Jalan Taman Sungai Dua Utama, Sungai Dua, di Butterworth, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.15 pagi itu, kesemua kanak-kanak berusia antara tujuh hingga 12 tahun berkenaan mengalami kecederaan ringan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara ACP Noorzainy Mohd Noor berkata, kejadian berlaku selepas dua buah motosikal masing-masing dinaiki dua lelaki dan seorang lelaki terlibat dalam kemalangan berhampiran laluan acara berjalan kaki berkenaan.

“Kemalangan itu berlaku apabila sebuah motosikal yang hilang kawalan telah berlanggar dengan sebuah motosikal lain sebelum terbabas dan terkena tujuh kanak-kanak tersebut,” katanya.

Menurutnya, semua mangsa yang cedera ringan dihantar ke Hospital Seberang Jaya, Klinik Kesihatan Sungai Dua dan Hospital Kepala Batas untuk rawatan sebagai pesakit luar. – Bernama, 5 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen