Hukuman penjara doktor Kemboja sebabkan jangkitan HIV kekal


MAHKAMAH Agung Kemboja telah mengekalkan keputusan mahkamah lebih rendah yang menjatuhi hukuman penjara 25 tahun ke atas seorang pengamal perubatan tidak berlesen kerana menyebabkan lebih 200 penduduk kampung dijangkiti HIV menerusi penggunaan semula jarum tidak bersih, lapor agensi berita China Xinhua.

Yem Chrin, 60, telah ditahan pada 2014 di barat laut wilayah Battambang selepas hampir kesemua pesakitnya mendapati ujian darah mereka positif HIV dan menuduhnya menyebarkan virus itu melalui penggunaan semula jarum yang tidak disteril. HIV adalah virus yang menyebabkan AIDS.

Pada Disember 2015, Mahkamah Wilayah Battambang mendapati beliau bersalah melakukan “penyeksaan kejam” dan memutuskan untuk menjatuhi hukuman penjara 25 tahun terhadapnya. Mahkamah turut memerintahkan beliau membayar antara AS$500 dan AS$3,000 sebagai pampasan kepada setiap mangsa yang berjumlah lebih 100 orang, yang memfailkan aduan.

Pada September 2017, Mahkamah Rayuan memutuskan untuk mengekalkan perintah Mahkamah Wilayah Battambang terhadap Chrin.

Semasa pendengaran rayuannya bulan lepas, Chrin yang berkhidmat sebagai pengamal perubatan di kampung itu selama hampir 20 tahun mengakui kesilapannya dan merayu agar mahkamah mengurangkan hukuman penjara kepada 10 tahun.

Beliau memberitahu mahkamah bahawa beliau telah menggunakan semula jarum terhadap ramai pesakit kerana amat sukar untuk mendapatkan jarum baharu.

Penularan virus HIV di wilayah Battambang dalam komun Roka, yang terletak di pedalaman, hanya terbongkar pada 2014 dan telah menyebabkan kira-kira 290 orang dijangkiti. – Bernama, 5 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen