ECUADOR kini memulihkan keamanan secara beransur-ansur di bawah perintah darurat yang diisytihar bagi membendung kekacauan akibat mogok pengangkutan nasional, kata Menteri Pertahanan Oswaldo Jarrin pada Jumaat.
Menteri itu berkata jalan raya di seluruh negara tidak lagi dihalang manakala Lapangan Terbang Antarabangsa Mariscal Sucre di Quito telah beroperasi sepenuhnya, lapor agensi berita China Xinhua.
Beliau berkata peronda penguatkuasaan undang-undang memantau laluan akses utama di bandar-bandar di Quito dan Guayaquil, di mana tunjuk perasaan ditumpukan.
Mogok pengangkutan itu, yang memasuki hari kedua pada Jumaat, bermula selepas kesatuan pengangkutan nasional menolak pengumuman kerajaan pada 1 Oktober berhubung penghapusan subsidi diesel dan gasolin.
Presiden Ecuador Lenin Moreno mengisytiharkan perintah darurat selama 60 hari pada Khamis bagi mengelak kekacauan dan tunjuk perasaan popular terhadap tindakan vandalisme serta keganasan.
Para pegawai berkata pasukan penguatkuasaan undang-undang akan terus melakukan rondaan di jalan raya di bawah perintah darurat sehingga keamanan dan kestabilan negara itu pulih. – Bernama, 5 Oktober, 2019.
Komen