MENTERI-MENTERI Alam Sekitar dari Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (Asean) dijadualkan bermesyuarat di Kemboja minggu depan bagi membincangkan pencemaran jerebu rentas sempadan dan isu lain berkaitan alam sekitar, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan seorang jurucakap Kemboja.
Mereka dijangka berhimpun di Mesyuarat Peringkat Menteri Asean ke-15 mengenai Alam Sekitar (AMME ke-15) dan mesyuarat berkaitan yang dijadualkan dari 7 hingga 10 Oktober di barat laut wilayah Siem Reap, kata Setiausaha Negara merangkap Jurucakap Kementerian Alam Sekitar Kemboja Neth Pheaktra.
“Semasa mesyuarat itu, menteri-menteri alam sekitar Asean akan membincangkan pelbagai usaha kerjasama serantau dalam alam sekitar termasuk perubahan iklim, persekitaran bandar lestari, pemuliharaan biodiversiti, persekitaran pesisir dan marin, pendidikan alam sekitar, pengurusan sumber air, pengurusan sisa kimia dan berbahaya, kawalan pencemaran jerebu rentas sempadan dan sekolah eko,” katanya.
Beliau berkata mesyuarat dua tahun sekali itu dijangka menerima pakai tiga dokumen penting - deraf Kenyataan Bersama Asean mengenai Perubahan Iklim, deraf Pelan Strategik Asean mengenai Alam Sekitar dan permohonan untuk menetapkan lima taman negara di Myanmar, Thailand dan Vietnam sebagai Taman Warisan Asean.
Tiga mesyuarat akan diadakan secara berturut-turut dengan AMME ke-15, kata beliau sambil menambah bahawa mesyuarat itu ialah Mesyuarat ke-15 Persidangan Pihak-Pihak dalam Perjanjian Asean mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan, Mesyuarat ke-16 Menteri-Menteri Alam Sekitar Asean campur +3 (China, Jepun dan Korea Selatan) dan Dialog Peringkat Menteri Asean-Jepun mengenai Kerjasama Alam Sekitar.
Pheaktra berkata bagi meraikan pelancaran Inisiatif Hijau Asean, peserta mesyuarat akan turut menghadiri majlis menanam pokok bunga Kravan di depan Kuil Angkor Wat yang terkenal.
Asean yang ditubuhkan pada 1967 menghimpunkan Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam. – Bernama, 5 Oktober, 2019.
Komen