KERAJAAN perlu menubuhkan satu jawatankuasa dwipartisan yang terdiri daripada ahli Parlimen dari kerajaan dan pembangkang bagi menangani isu hubungan antara kaum, kata Naib Ketua Pemuda Umno Shahril Hamdan.
Katanya, penubuhan jawatankuasa ini perlu kerana hubungan antara kaum di negara ini semakin buruk.
“Saya sangat setuju dengan cadangan bahawa satu jawatankuasa dwipartisan perlu ditubuhkan untuk menangani isu hubungan kaum,” kata Shahril pada Persidangan Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-Undang LawAsia 2019 di Petaling Jaya, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan peguam terkemuka dan bekas pengerusi Bersih, Ambiga Sreenevasan yang mencadangkan jawatankuasa tersebut.
“Oleh kerana Umno sebahagian daripada masalah, (ia) perlu teliti hubungan kaum,” kata Ambiga.
“Ia politik (politik perkauman) tetapi tidak bijak. Tiada siapa yang menang bila dalam retorik perkauman. Soalan saya ialah, adakah anda akan desak parti anda menyertai jawatankuasa dwipartisan untuk tangani isu hubungan kaum?
“Ini bermakna parti akan diteliti” soal Ambiga.
Menjawab soalan itu, Shahril berkata beliau setuju dengan cadangan tersebut sambil menambah kerajaan dan pembangkang harus dipersalahakan atas politik perkauman.
Tambah Shahril, Umno tidak harus menggunakan isu kaum untuk meraih keuntungan politik manakala kerajaan Pakatan Harapan juga perlu dipersalahkan atas sikap ahli politik mereka “yang sengaja menjadi sasaran”.
“Kedua-dua pihak bertanggungjawab, kedua-dua pihak perlu cari jalan penyelesaian,” katanya.
“Sepanjang hidup saya, hubungan kaum sekarang ini sangat teruk. Saya tak tahu kalau pada tahun 60-an lebih teruk, saya belum lahir masa itu, tetapi yang pasti paling teruk sejak saya terlibat dalam politik.” – 5 Oktober, 2019.
Komen