Ahli Bersatu Sarawak mahu saman menteri kabinet Bersatu


Desmond Davidson

Ahli Bersatu Azman Samaon menunjukkan laporan polis yang dibuatnya terhadap Menteri Pembangunan Usahawan Mohd Redzuan Md Yusof. – Gambar The Malaysian Insight, 5 Oktober, 2019.

AHLI seumur hidup Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) telah membuat laporan polis berhubung fitnah daripada seorang menteri persekutuan yang menuduh beliau melakukan perbuatan jenayah berat.

Azman Samaon berkata Menteri Pembangunan Usahawan Mohd Redzuan Md Yusof telah memuat naik fitnah menuduhnya mengedar dadah di Sarawak, mencetak dan mengedar wang palsu.

Beliau mendakwa Redzuan menuduhnya bekerjasama dengan polis bagi menutup perbuatan jenayah dan memalsukan dokumen kerajaan.

“Saya akan saman Redzuan. Ini tidak ada kaitan dengan parti atau pemimpin parti.

“Saya percaya dakwaan Redzuan adalah bersifat peribadi atas rasa tidak puas hati,” katanya dalam satu sidang media di Kuching, Sarawak.

Beliau juga percaya tuduhan Redzuan bertujuan menghalangnya dari dinamakan sebagai ketua Bersatu negeri bulan lepas.

Jaziri Alkaf A Suffian dinamakan sebagai pengerusi Bersatu Sarawak pada 16 September semasa pertemuan parti di Kuching bersama Presiden Bersatu Dr Mahathir Mohamad. – 5 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen