SEORANG penulis blog dan pasangannya warga British-Australia yang ditahan di Iran atas tuduhan mengintip telah dibebaskan dan pulang ke rumah mereka, kata Menteri Luar Australia Marise Payne hari ini.
Jolie King dan Mark Firkin berasal dari Perth sering berkongsi perjalanan mereka dari Australia ke Britain di media sosial sejak dua tahun lalu.
Namun media sosial mereka mula tidak dikemas kini selepas membuat perjalanan dari Kyrgyzstan dan Pakistan kira-kira tiga bulan lalu.
Mereka didakwa menggunakan dron untuk mengambil gambar “tapak tentera dan kawasan larangan”, kata jurucakap kehakiman Iran bulan lalu.
Payne berkata, pasangan itu telah kembali bersama keluarga mereka di Australia susulan “rundingan yang sangat sensitive” dengan Tehran.
“Kami gembira dan lega dapat kembali ke Australia berjumpa dengan orang tersayang,” kata pasangan itu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh kementerian luar negara hari ini.
Awal September lalu kerajaan Australia mendedahkan tiga rakyat mereka ditahan di Iran.
Menurut laporan akhbar The Times of London, individu ketiga yang turut ditahan adalah ahli akademik British-Australia yang menyambung pengajian di Universiti Cambridge. – AFP, 5 Oktober, 2019.
Komen