Perlembagaan pelihara pemisahan kuasa, kata ketua hakim negara


Bede Hong Timothy Achariam

Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat berkata sebarang usaha mahu menjejaskan pemisahan kuasa dianggap sebagai 'satu penghinaan ke atas demokrasi'. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 5 Oktober, 2019.

DOKTRIN pemisahan kuasa adalah asas Perlembagaan Persekutuan, yang merupakan undang-undang tertinggi dalam sistem demokrasi Malaysia, kata Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat.

Katanya, sebarang usaha mahu menjejaskan pemisahan kuasa dianggap sebagai “satu penghinaan ke atas demokrasi”.

“Parlimen kita, tidak seperti di United Kingdom, bukanlah yang tertinggi. Malah, tiada cabang dalam pemerintahan yang lebih mutlak daripada yang lain. 

“Hanya Perlembagaan Persekutuan yang tertinggi,” kata Maimun, dalam ucapannya di Persidangan Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-Undang LawAsia di Petaling Jaya, hari ini.

Jelas Maimun, pemisahan kuasa yang luhur akan memastikan adanya sebuah sistem semak dan imbang.

“Kehakiman memainkan peranan utama memandu institusi awam, dan untuk memastikan bahawa setiap cabang tidak menceroboh dalam apa juga bentuk batas yang ditetapkan melalui Perlembagaan.”

Menurut Maimun, idea pemisahan kuasa bertujuan menyekat mana-mana cabang menjadi mutlak atau menumpuk kekuasaan hanya pada satu cabang.

“Oleh sebab cabang eksekutif dan legislatif menentukan dasar kerajaan yang didukung oleh mandat pilihan raya, menjadi tugas kehakiman untuk memastikan kuasa itu dilaksanakan mengikut undang-undang,” katanya.

Tengku Maimun dilantik sebagai ketua hakim negara pada 2 Mei lalu. Beliau menggantikan Richard Malanjum yang bersara. – 5 Oktober, 2019.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen