Lebih 90,000 penduduk Yaman terjejas akibat banjir


Banjir di Yaman menjejaskan kawasan kediaman, lokasi yang menempatkan orang tersingkir, ladang dan takungan air. – Gambar EPA, 5 Oktober, 2019.

BANJIR akibat hujan lebat dan ribut petir sejak seminggu lepas menyebabkan lebih 90,000 orang terjejas di negara Yaman yang dilanda peperangan, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan seorang jurucakap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Kawasan kediaman, lokasi yang menempatkan orang tersingkir, ladang dan takungan air telah mengalami kerosakan, kata Stephane Dujarric, jurucakap Setiausaha Agung PBB, merujuk kenyataan Pejabat PBB bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA).

Dujarric berkata 70% mangsa yang terjejas adalah dari kawasan barat laut Gabenorat Hajjah.

Banjir turut dilaporkan OCHA pada masa sama di bahagian tengah dan selatan Yaman.

Agensi kemanusiaan sedang menjalankan penilaian lebih terperinci, kata jurucakap itu kepada koresponden semasa taklimat tetap. – Bernama, 5 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen