MICROSOFT semalam berkata sebuah kumpulan penggodam dikaitkan dengan Iran melancarkan serangan siber ke atas wartawan AS, pegawai kerajaan dan akaun kempen pemilihan presiden AS.
Hanya empat akaun terjejas kerana “aktiviti siber mendadak kumpulan pengancam ini”, kata Naib Presiden Korporat tentang Keselamatan dan Kepercayaan Komputer Microsoft Tom Burt.
Beliau bagaimanapun tidak menyatakan kempen calon presiden mana yang jadi sasaran atau akaun yang digodam.
Microsoft menggelarkan kumpulan itu sebagai “Phosphorous” cuba mengenalpasti akaun email sasaran yang meliputi pegawai kerajaan AS, wartawan yang melaporkan berita tentang politik dunia, warga Iran terkenal yang tinggal di luar negara dan kempen presiden, kata Burt.
“Phosphorous menggunakan maklumat yang dikumpul daripada sasaran mereka atau cara lain untuk melakukan penetapan semula kata laluan atau pemilikan akaun dan cuba mengambialih akaun terbabit,” katanya.
Sepanjang 30 hari bulan September, Pusat Risikan Ancaman Microsoft merisik lebih 2,700 cubaan mengenal pasti akaun email sasaran, menurut pusat perkomputeran AS itu.
Microsoft percaya Phosphorus “berasal dari Iran dan ada kaitan dengan kerajaan Iran.”
Burt berkata Microsoft sudah menghantar notis kepada akaun yang menjadi sasaran, menasihati mereka supaya mengukuhkan pertahanan sistem.
Serangan itu bagaimanapun tidak menggunakan kemahiran teknikal canggih, hanya sekadar cubaan mengumpulkan maklumat peribadi seperti nombor telefon yang dikumpulkan untuk mengenal pasti akaun email atau memperdaya sistem untuk membenarkan kata laluan ditetapkan semula.
“Usaha ini mencadangkan Phosphorous sangat bermotivasi dan bersedia melabur masa dan sumber untuk melakukan kajian dan pelbagai cara pengumpulan maklumat,” katanya.
Facebook awal tahun ini menutup lebih 2,600 akaun palsu dikaitkan dengan Iran, Rusia, Macedonia dan Kosovo yang bertujuan mempengaruhi sentimen politik dunia.
Ia adalah sebahagian usaha gergasi media sosial itu untuk menghapuskan akaun “tidak tulen” di Facebook dan Instagram yang mahu mempengaruhi politik di AS dan tempat lain.
Dalam usaha itu, Facebook berkata ia juga memadamkan 513 halaman, kumpulan dan akaun yang dikaitkan dengan Iran dan beroperasi di Mesir, India, Indonesia, Israel, Itali, Kashmir, Kazakhstan dan pelbagai kawasan lain di Timur Tengah dan Afrika Utara. – AFP, 5 Oktober, 2019.
Komen